ANGGOTA APM menunjukkan ular sawa batik diselamatkan. FOTO Ahmad Ismail.
ANGGOTA APM menunjukkan ular sawa batik diselamatkan. FOTO Ahmad Ismail.
Ahmad Ismail

[email protected].

ANGKATAN Pertahanan Awam Malaysia (APM) daerah Segamat menyelamatkan seekor ular sawa batik cedera pada mulut dan badan ditemui di Kampung Tungku Tiga, Segamat, 9 pagi hari ini.

Pegawai Pertahanan Awam Malaysia (APM) Segamat, Kapten (PA) Mohd Nazlan Ruslan berkata, reptilia seberat 60 kilogram dengan panjang enam meter itu ditemui oleh seorang penduduk di belakang kediamannya.

Katanya susulan itu sepasukan pegawai dan anggota ke lokasi berkenaan dengan membawa bersama peralatan menangkap ular.

“Ular sawa batik betina dianggarkan berusia empat tahun itu ditemui tersepit di celah longgokan kayu. Anggota operasi kemudian mengalihkan kayu untuk melepaskan reptilia itu.

“Reptilia itu agak agresif dipercayai akibat kecederaan dialami dan kelaparan, namun operasi menyelamat mengambil masa 20 minit itu berjalan lancar,” katanya, ketika ditemui di Pejabat APM Segamat di Jalan Omar, hari ini.

Mohd Nazlan, memuji tindakan pengadu berkenaan yang tidak mencederakan reptilia itu sebaliknya menghubungi APM untuk menyelamatkannya.

“Orang awam berdepan masalah sama dinasihatkan agar menghubungi kami atau Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk tindakan selanjutnya.

“Pasukan penyelamat memiliki peralatan khas dan pakar menangkap ular,” katanya.

Menurutnya, reptilia itu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (PERHILITAN).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 6:16 PM