APM Johor Bahru menangkap ular sawa batik seberat 180kg di Kampung Sinaran Baru Selong, Johor Bahru. FOTO IHSAN APM JOHOR
APM Johor Bahru menangkap ular sawa batik seberat 180kg di Kampung Sinaran Baru Selong, Johor Bahru. FOTO IHSAN APM JOHOR
Nurul Amanina Suhaini


ULAR sawa batik seberat 180 kilogram ditangkap selepas kelibatnya dilihat berada di sekitar kawasan kabel pencawang Tenaga Nasional Bhd (TNB) di Kampung Sinaran Baru Selong, Johor Bahru hari ini.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Johor Bahru dalam kenyataannya berkata, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) menerima panggilan kira-kira jam 10 pagi daripada pemanggil yang menyedari kehadiran ular berkenaan.

Menurutnya, kejadian itu disedari orang awam iaitu kontraktor TNB yang membuat kerja pembersihan di kawasan itu.

“Setibanya di lokasi kejadian, ular terbabit sudah diikat oleh kontraktor, sebelum membawanya ke kawasan lapang.

“Anggota kami mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menangkap ular sawa berkenaan disebabkan ia bertindak agresif,” katanya.

APM memaklumkan, reptilia itu berkemungkinan berada di kawasan berhampiran untuk mencari air dan sumber makanan disebabkan perubahan cuaca yang tidak menentu.

“Ular sawa itu kemudian diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor untuk tindakan seterusnya sebelum dilepaskan ke habitat asal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Februari 2020 @ 6:49 PM