DATUK Mior Faridalathrash Wahid menyampaikan replika cek faedah pengurusan mayat RM2,000 PERKESO kepada waris suami arwah Maryamah Talib, 51, Sarjan Suhaimi Ismail, 52, di IPK Perak. FOTO Balqis Jazimah Zahari
DATUK Mior Faridalathrash Wahid menyampaikan replika cek faedah pengurusan mayat RM2,000 PERKESO kepada waris suami arwah Maryamah Talib, 51, Sarjan Suhaimi Ismail, 52, di IPK Perak. FOTO Balqis Jazimah Zahari
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: "Sejak dari kecil sehingga dewasa, dia memang suka menolong orang," kata M Kalpana, 46, ibu mendiang K Nagantheran, 21, yang meninggal dunia dalam kemalangan di Kilometer 263 Lebuhraya Utara-Selatan, dekat sini, ada 2 Mei lalu.

Dalam kejadian itu, Nagantheran sempat memberikan pertolongan kepada pemandu Perodua Myvi yang terbabas di longkang tepi lebuh raya sebelum dirempuh kenderaan lain.

Kalpana berkata, anak tunggalnya tidak pernah membebankan keluarga dan dia pandai mencari pendapatan sendiri sebaik selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menurutnya, mendiang amat mengambil berat dan menghubunginya setiap waktu semata-mata untuk bertanya keadaan kesihatan dirinya.

"Sebelum kejadian anak sempat membuat kejutan terakhir apabila datang menemui saya di rumah ibu saudaranya di Taiping.

"Semasa pulang pula dia mengikuti belakang kereta yang dinaiki saya dan suami, tetapi dalam perjalanan tiba-tiba kereta anak sudah 'tiada'.

"Suami cuba menghubungi banyak kali sehinggalah kemudian ada orang menghubungi memaklumkan kejadian yang menimpa anak," katanya dalam nada sebak.

Kalpana berkata demikian ketika ditemui selepas Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Perak Anthony Arul Dass menyerahkan bayaran Faedah Pengurusan Mayat RM2,000 dan pencen penakat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, hari ini.

Bantuan berkenaan turut diterima Sarjan Suhaimi Ismail, 52, yang juga waris Allahyarham Maryamah Talib, 51, yang turut maut dalam kemalangan sama.

Turut hadir, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz.

Sementara itu, Anthony berkata, skuad Perkeso Prihatin bertindak membuat siasatan sebaik mendapat maklumat berkenaan kemalangan terbabit.

"Bantuan faedah ini diharapkan sekurang-kurangnya dapat meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 3:00 PM