Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Nahas yang mengorbankan pasangan suami isteri di Kilometer 76 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, berdekatan Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Titiwangsa, Gerik, malam tadi berpunca daripada kenderaan mereka hilang kawalan semasa melalui selekoh.

Nahas jam 8.15 malam tadi mengorbankan pemandu Nissan Latio dikenali sebagai Azmi, 47, dan isterinya Rohani, 47.

Tiga individu yang dikenal pasti cedera dalam nahas itu adalah remaja lelaki dan perempuan masing-masing berusia 14 dan 18 tahun yang menaiki kereta bersama pasangan itu, selain seorang lelaki berumur 48 tahun yang juga penumpang hadapan Mitsubishi Triton.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan awal mendapati nahas dipercayai berlaku apabila Nissan Latio dinaiki pasangan itu dari arah Gerik dipercayai hilang kawalan semasa melalui selekoh lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan.

Beliau berkata, berlaku pelanggaran antara Nissan Latio yang dinaiki empat individu yang kesemua mereka berasal dari Kuala Berang, Terengganu dengan Mitsubishi Triton yang dinaiki tiga individu berasal dari Kedah.

"Akibat pelanggaran itu, pasangan suami isteri disahkan meninggal di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Jeli, Kelantan manakala tiga lagi mangsa dibawa ke Hospital Jeli untuk mendapatkan rawatan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, difahamkan remaja lelaki berusia 14 tahun iaitu penumpang Nissan Latio mengalami kecederaan parah manakala semua yang menaiki Mitsubishi Triton dilaporkan cedera.

Berita berkaitan

Suami isteri maut kemalangan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mei 2022 @ 6:36 PM