LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini. Mending K Nagantheran (gambar kecil).
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini. Mending K Nagantheran (gambar kecil).
BERNAMA

Ipoh: Mendiang K Nagantheran, seorang pemandu ambulans yang terkorban sewaktu memberi pertolongan dalam satu kemalangan berhampiran Terowong Menora, Ahad lalu, disifatkan seorang yang amanah menjalankan tanggungjawabnya sehingga ke akhir hayat.

Menurut bapa saudaranya, M. Nadaraja, 62, istilah membantu orang lain tanpa mengira bangsa, sebati dalam diri Nagantheran yang mesra dipanggil Nagan, sejak mendiang kecil hingga dewasa.

"Nagan sanggup meletakkan dirinya dalam situasi bahaya bagi menyelamatkan orang lain walaupun lokasi kejadian itu agak berbahaya dan sering berlaku kemalangan.

"Pasti ramai sukar menerima kenyataan kehilangan Nagan terutama ibu bapanya yang kini tinggal berdua sahaja kerana Nagan adalah anak tunggal," katanya ketika ditemui semasa upacara pengebumian di Taman Rishah hari ini.

Nagantheran, 22, maut ketika memberikan pertolongan dalam satu kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 263.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dua hari lalu.

Menurut saksi, mendiang membantu mengeluarkan pemandu Perodua Myvi, Maryamah Talib, 52, yang terbabas di longkang di tepi jalan, sebelum dirempuh kenderaan lain dan maut di tempat kejadian manakala Maryamah meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun.

Insiden itu turut menyebabkan dua lelaki cedera parah, seorang cedera ringan manakala enam lagi tidak mengalami kecederaan.

Nadaraja berkata menurut ibu bapa mendiang, ketika kejadian Nagantheran baru sahaja selesai menjalankan tugasnya menghantar ubat-ubatan sebelum melalui lokasi kemalangan maut itu.

"Sebelum itu, mereka baru selesai makan bersama-sama di Taiping dan Nagan perlu kembali bertugas. Ada ahli keluarga yang ingin menemaninya pulang tetapi Nagan tidak memberi kebenaran. Seolah-olah dia tahu ada benda yang ingin berlaku," katanya.

Sementara itu, seorang jiran mendiang yang hanya mahu dikenali sebagai Mak Cik Siew berusia 60-an berkata Nagan adalah anak muda yang baik dan tidak pernah mendatangkan masalah.

"Dari kecil sehingga besar, perangainya tetap sama sentiasa menegur dengan penuh berhemah," katanya yang lebih 40 tahun tinggal di kawasan berkenaan bersama-sama ibu bapa Nagan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz yang turut hadir memberi penghormatan terakhir, berkata pemergian Nagan satu kehilangan besar kerana tidak semua orang sanggup mengorbankan diri untuk membantu orang lain tanpa mengira bangsa dan agama.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 5:35 PM