Noh Omar (kiri) menyerahkan sumbangan kepada Ros (kanan) di Sungai Terap, hari ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Noh Omar (kiri) menyerahkan sumbangan kepada Ros (kanan) di Sungai Terap, hari ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Amirul Aiman Hamsuddin


Tanjong Karang: "Saya tidak menyangka penyakit kencing manis yang dihidapi sejak empat tahun lalu menyebabkan saya kini hilang penglihatan.

"Lebih menyedihkan, suami yang selama ini menjadi tunjang utama keluarga, pergi buat selamanya akibat penyakit buah pinggang enam tahun lalu," kata Ros Abd Samad, 45.

Menurut Ros yang juga ibu tunggal, kehilangan deria penglihatan dan suami tercinta menyebabkan dia terpaksa bergantung harap kepada lima anak berusia 11 tahun hingga 22 hingga untuk menguruskan keperluan dirinya.

Katanya, belum pun reda masalah penglihatan, dia sekali lagi diuji dengan dugaan kegagalan fungsi buah pinggang, enam bulan lalu.

"Sudahlah saya merasakan dunia ini begitu gelap (selepas hilang penglihatan). Apabila doktor mengesahkan buah pinggang pula tidak berfungsi, saya hilang kata-kata sehingga lutut terasa lemah.

"Saya tidak tahu apa yang boleh dilakukan sehingga satu tahap buntu dan hanya berdoa serta mengharap pertolongan daripada Allah SWT," katanya dalam linangan air mata.

Ros berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Bersama Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Sumbangan CSR Kepada Anak Yatim dan Ibu Tunggal di Sungai Terap, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi PUNB yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar.

Menurut Ros, dia bersyukur kerana dirinya dan anak bongsu, Mohd Anuridin Mohd Saleh, 11, menerima bantuan daripada PUNB, sekali gus meringankan beban dia dan keluarganya untuk menyambut 1 Syawal tidak lama lagi.

"Sumbangan ini akan digunakan dalam membuat persiapan untuk menyambut 1 Syawal nanti.

"Mungkin saya akan beli lauk yang seadanya kerana mahu berjimat-cermat, lagi-lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini yang tidak tahu bila akan berakhir" katanya yang tinggal di Bestari Jaya.

Sementara itu, Noh berkata, seramai 453 anak yatim dan 2,282 ibu tunggal di Parlimen Tanjong Karang akan menerima sumbangan pada tahun ini.

"Sumbangan yang diberikan bukan sahaja daripada PUNB, malah daripada tokoh korporat dan juga yayasan.

"Majoriti penerima ini terdiri daripada golongan B40. Mereka dipilih secara adil dan saksama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Mei 2021 @ 2:51 PM