AHMAD Nazlan  (dua dari kiri) bersama penerima sumbangan kelengkapan persekolahan dan wang saku  pada Majlis Taklimat Dan Sesi Dialog PUNB Bersama Usahawan Segamat.
AHMAD Nazlan (dua dari kiri) bersama penerima sumbangan kelengkapan persekolahan dan wang saku pada Majlis Taklimat Dan Sesi Dialog PUNB Bersama Usahawan Segamat.
Oleh Ahmad Ismail


SERAMAI 100 usahawan memanfaatkan kemudahan sistem e-mohon Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) yang mempercepat permohonan pelbagai pembiayaan perniagaan.

Pengerusi PUNB, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, sistem e-mohon dilaksanakan sepenuhnya pada awal bulan ini.

Katanya, ia membolehkan usahawan memohon pembiayaan perniagaan pelbagai sektor secara dalam talian dan memantau proses permohonan pembiayaan daripada penerimaan permohonan lengkap sehingga status akhir permohonan.

Katanya, sistem berkenaan memudahkan pemohon, selain mempercepat dan meningkatkan kecekapan proses permohonan serta kelulusan dalam tempoh dua minggu sahaja.

"Peralihan kepada pendigitalan operasi adalah keperluan, selain menjadi antara kaedah progresif yang boleh digunakan dalam persekitaran hari ini.

"PUNB sentiasa berusaha bagi memastikan perkhidmatan pelanggan yang diberikan adalah terbaik dan memudahkan usahawan," katanya.

Beliau ditemui pada program sumbangan kepada 40 anak yatim serta kurang berkemampuan di Majlis Taklimat Dan Sesi Dialog PUNB Bersama Usahawan Segamat di sebuah hotel di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PUNB Izwan Zainuddin dan Pengerusi Yayasan Muafakat, Anuar Manap.

Katanya, penghantaran permohonan secara bersemuka di ibu pejabat dan 12 pejabat wilayah PUNB di seluruh negara ditamatkan pada 31 Januari 2022

"Bagaimanapun, usahawan yang mempunyai pertanyaan atau ingin mendapatkan khidmat nasihat berkaitan pembiayaan perniagaan, namun menghadapi kekangan pencapaian internet, masih boleh berkunjung ke ibu pejabat dan pejabat PUNB di seluruh negara mengikut waktu operasi ditetapkan." katanya.

Sistem e-mohon boleh diakses bermula 11 Januari lalu di https://e-mohon.punb.com.my/login.

Sebarang pertanyaan mengenai PUNB, orang ramai boleh menghubungi talian 1300 13 7862 atau e-mel ke [email protected].

Selain itu, mereka boleh melayari portal rasmi PUNB di www.punb.com.my dan ikuti media sosial PUNB untuk maklumat terkini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Februari 2022 @ 7:10 AM