Christopher mengetuai operasi pemotongan bekalan elektrik di sebuah premis terbabit kegiatan perjudian dalam talian. FOTO IPD Melaka Tengah
Christopher mengetuai operasi pemotongan bekalan elektrik di sebuah premis terbabit kegiatan perjudian dalam talian. FOTO IPD Melaka Tengah
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Raih keuntungan besar hasil kegiatan haram menawarkan permainan judi dalam talian serta judi loteri tanpa lesen.

Itu antara kegiatan segelintir pemilik kedai perniagaan di negeri ini yang masih melakukan kegiatan jenayah itu secara 'sorok-sorok'.

Kegiatan haram itu bagaimanapun berakhir apabila Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah bersama pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) melakukan operasi pemotongan bekalan elektrik di lima premis terbabit bermula jam 8.30 pagi hingga 4 petang semalam.

Operasi diketuai Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit itu disertai empat pegawai dan anggota polis serta dua kakitangan TNB.

Menurut Christopher, hasil intipan dan risikan pihaknya mendapati semua premis itu menyalahgunakan lesen perniagaan untuk menjalankan aktiviti perjudian tanpa lesen.

"Pihak polis bersama TNB melakukan pemotongan bekalan elektrik terhadap lima premis di Taman Sin Hoe Bukit Baru, Taman Semabok Perdana, Jalan Bukit Serindit, Plaza Pandan Malim dan Taman Rambai Jaya di sini.

"Tindakan pemotongan bekalan elektrik ini dilakukan mengikut Seksyen 21A(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 bertujuan mengekang aktiviti perjudian di sekitar negeri Melaka," katanya.

Beliau berkata, pihaknya memberi amaran keras kepada setiap pemilik premis perniagaan supaya tidak menyalahgunakan lesen perniagaan mereka bagi menjalankan kegiatan haram terbabit.

"Justeru kita berharap orang ramai dapat terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti seumpamanya ke balai polis berhampiran atau menghubungi Hotline IPD Melaka Tengah di talian 06-284 2222," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2023 @ 12:23 PM