KENDERAAN dan rokok seludup yang dirampas. Foto Ihsan PGA
KENDERAAN dan rokok seludup yang dirampas. Foto Ihsan PGA
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Polis merampas 1,185 karton rokok seludup serta sebuah kenderaan di kawasan Jalan Parit Balak, Senggarang, dekat sini, semalam.

Serbuan 2 petang menerusi Op Kontraban itu dijalankan sepasukan polis daripada Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA), Simpang Renggam.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintendan Dimin Awang berkata, rokok seludup pelbagai jenama yang dirampas tidak mempunyai cukai kastam.

"Anggaran nilai rokok seludup berkenaan adalah sebanyak RM64,049, manakala anggaran nilai cukai rokok seludup berkenaan sebanyak RM177,829.

"Turut dirampas sebuah kenderaan pelbagai guna bernilai RM40,000 yang digunakan untuk mengedar rokok seludup," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Dimin, rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.

"Serbuan ini berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran rokok tanpa cukai di sekitar Batu Pahat.

"Polis menyeru masyarakat agar dapat memberikan kerjasama dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 11:58 AM