Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Kerajaan sedia mempertimbangkan pemberian vaksin Covid-19 kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun, berbanding had usia minimum penerima yang ditetapkan iaitu 18 tahun.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin bagaimanapun berkata, pertimbangan itu akan dibuat selepas menerima data lengkap ujian klinikal yang dilaksana syarikat farmaseutikal, Pfizer ke atas individu kelompok usia berkenaan.

Katanya, syarikat terbabit yang mengeluarkan vaksin Pfizer-BioNTech dijangka mengemukakan maklumat ujian itu kepada Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA), sebelum data sama diserahkan kepada Bahagian Kawal Selia Farmasi Negara (NPRA).

"Kalau dipersetujui (selepas meneliti data), maka kita boleh beri (vaksin) kepada golongan berusia 12 hingga 17 tahun yang sebelum ini kita hadkan kepada (penerima) 18 tahun ke atas.

"Pfizer baru dapat maklumat terkini ujian klinikal yang dijalankan ke atas golongan remaja dan syarikat terbabit akan serahkan kepada FDA dan NPRA.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin ketika sidang media bersama Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, selepas Mesyuarat Badan Bertindak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Peringkat Negeri Kedah di Wisma Darul Aman di sini, hari ini. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin ketika sidang media bersama Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, selepas Mesyuarat Badan Bertindak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Peringkat Negeri Kedah di Wisma Darul Aman di sini, hari ini. FOTO Noorazura Abdul Rahman

"Jadi kita tengok keputusan dan akan mempertimbang, sekiranya ia selamat kita akan beri vaksin ini kepada remaja usia berkenaan," katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau bersama Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor menghadiri Mesyuarat Badan Bertindak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Peringkat Negeri Kedah di Wisma Darul Aman.

Mengulas lanjut, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, kerajaan mungkin akan menempah vaksin Pfizer-BioNTech buat golongan remaja berikutan hanya syarikat pengeluar itu yang mempunyai maklumat klinikal.

Bagaimanapun, katanya, suntikan bagi golongan berkenaan tidak akan dilaksana dalam masa terdekat memandangkan, analisa dan penilaian data oleh syarikat pengeluar dilaksana antara dua ke tiga bulan.

Sementara itu, Khairy memaklumkan seramai 460,116 guru sektor awam dan swasta di seluruh negara bakal menerima vaksin Covid-19 pada kedua PICK.

Katanya, jumlah itu berdasarkan senarai yang dikemukakan Kementerian Pendidikan setakat ini, malah beliau juga meminta kerajaan negeri termasuk Kedah mengemukakan senarai guru sekolah pondok bagi urusan penerimaan suntikan sama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 April 2021 @ 2:49 PM