FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Sebanyak 79 sekolah di Selangor diarahkan tutup hari ini dan esok berikutan pengesanan jangkitan Covid-19 yang dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam.

Menerusi pekeliling Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor yang tular itu, ia membabitkan 18 sekolah berada di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Perdana, PPD Hulu Langat (19) dan PPD Klang (15).

Turut diarahkan tutup ialah masing-masing sembilan sekolah di bawah PPD Gombak dan Petaling Utama, lima membabitkan PPD Hulu Selangor manakala PPD Kuala Langat dan PPD Sepang masing-masing dua sekolah.

Menerusi pekeliling edaran terhad Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum) Datin Sri Nor Zamani Abdol Hamid itu menyatakan arahan penutupan sekolah yang disahkan mempunyai kes Covid-19 dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara: Pengurusan Covid-19 dipengerusikan Perdana Menteri pada 21 April lalu bersetuju supaya sekolah yang disahkan mempunyai kes positif ditutup minimum dua hari.

Antara sekolah yang disenaraikan adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 19, SK Seri Selangor; SK Bandar Anggerik; SMK Taman Tasik; SMK (P) Sri Aman; SMK Bukit Tinggi Klang; SMK Tropicana dan sebagainya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan dua kluster baharu Covid-19 dikesan di Selangor membabitkan institusi pendidikan Kementerian Pendidikan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 April 2021 @ 2:24 PM