MASJID Muhammadi sering menjadi tumpuan masyarakat dari negeri lain ketika Ramadan.
MASJID Muhammadi sering menjadi tumpuan masyarakat dari negeri lain ketika Ramadan.
Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Masjid Muhammadi atau dahulunya lebih dikenali sebagai Masjid Besar Kota Bharu menjadi pusat ilmu tertua selain pusat penyebaran syiar Islam di Kelantan sehingga negeri ini dikenali sebagai Serambi Makkah.

Terletak di tengah bandar Kota Bharu, masjid negeri yang berusia 154 tahun ini bercirikan seni bina Inggeris.

Masjid ini dibina pada 1867 dan asalnya ialah sebuah masjid kayu yang terletak di pinggir Sungai Budor, Seberang Paloh di sini sebelum dipindahkan dari tapak asalnya kerana ancaman banjir.

Antara guru yang pernah mengajar di masjid ini termasuk Sheikh Daud al-Fatoni dan yang terkenal ialah Tok Kenali.

Imam Muda Kanan Masjid Muhammadi, Halim Saari berkata, tiada sumber sahih yang menyatakan tarikh sebenar masjid ini mula dibina, tetapi ia dipercayai wujud sejak zaman pemerintahan Sultan Muhammad II yang memerintah Kelantan pada 1837 hingga Oktober 1886.

Katanya, ada juga pendapat yang mengatakan bahawa masjid ini dibina lebih awal iaitu pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad I antara 1801 hingga 1837.

"Namun, pada 1921, sebuah bangunan baru (bangunan induk) mulai dibina bagi menggantikan bangunan sedia ada daripada kayu.

"Istiadat peletakan batu asas masjid ini disempurnakan oleh Al-Sultan Ismail Ibni Al-Marhum Sultan Muhammad IV pada 21 Ogos 1922," katanya.

TIANG utama di dalam masjid menampilkan ciri Inggeris.
TIANG utama di dalam masjid menampilkan ciri Inggeris.

Menurut Halim, masjid berkenaan pada asalnya hanya mempunyai satu bangunan sahaja iaitu bangunan utama yang mampu menampung 1,300 jemaah.

Ia kemudiannya ditambah untuk memuatkan lebih ramai jemaah membabitkan bangunan hilir dan muslimat.

"Tiga bangunan ini yang berkeluasan 10,600 kaki persegi boleh menampung 4,200 jemaah pada satu-satu masa.

"Namun, bangunan utama dikekalkan dan tiada penambahan kerana ia sudah digazetkan sebagai bangunan warisan," katanya.

Halim berkata, seni bina masjid juga unik terutama ukiran dan kubah yang bercirikan Inggeris.

Katanya, masjid ini berbentuk segi empat dan struktur keseluruhannya diperbuat daripada simen.

"Dinding masjid mempunyai keunikan tersendiri kerana mempunyai lubang 'sisip angin' di bahagian belakang bagi melancarkan pengudaraan masjid.

"Masjid ini juga mempunyai empat menara dengan setiap satunya setinggi 21.3 meter.

"Sebuah daripada menara ini berhias empat jam besar yang dapat dilihat dari keempat-empat penjuru masjid. Di dinding masjid terdapat kalimah Allah dan ayat suci al-Quran," katanya.

Menurut Halim, di bahagian tengah masjid, terdapat satu telaga yang dikenali sebagai telaga Tok Kenali.

Menerusi cerita lisan, telaga ini wujud apabila Tok Kenali yang menjadi tenaga pengajar di masjid ini pada 1915 mahu mencari punca air.

BEDUK yang masih dalam keadaan sempurna terletak  di bahagian hadapan masjid.
BEDUK yang masih dalam keadaan sempurna terletak di bahagian hadapan masjid.

"Telaga berkenaan masih berfungsi dengan baik sehingga kini dan menjadi salah satu alternatif punca air kepada masjid," katanya.

Halim berkata, terdapat juga beduk yang diletakkan di bahagian hadapan masjid yang dahulunya digunakan sebagai tanda sudah masuk waktu solat.

Menurutnya, beduk itu masih berfungsi dengan baik, namun ia sudah tidak digunakan lagi.

"Masjid ini bukan sahaja terkenal dalam kalangan rakyat Kelantan, malah ia turut menjadi tumpuan masyarakat negeri lain.

"Kebiasaannya, pada Ramadan, jemaah dari negeri lain akan menyewa hotel berdekatan untuk sama-sama mengimarahkan masjid.

"Lebih istimewa Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dan kerabat diraja Kelantan juga sering singgah ke Masjid Muhammadi untuk menunai solat fardu dan solat Jumaat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 12:42 PM