TANGGA batu unik sering menarik perhatian jemaah.
TANGGA batu unik sering menarik perhatian jemaah.
Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Walaupun sudah berusia 105 tahun namun Masjid Kampung Air Barok di bandar Jasin di sini, masih terpulihara dengan ciri asal keunikan seni bina lama Islam yang tidak ditelan zaman.

Didirikan pada 1916 namun dipercayai dibina lebih awal daripada itu, Masjid Kampung Air Barok pernah menjadi masjid utama bandar Jasin bagi solat Jumaat dan aktiviti syiar Islam di daerah berkenaan.

Malah, dengan lokasinya yang strategik, ia jadi tumpuan masyarakat untuk beribadat.

Namun, kepesatan pembangunan dan pertambahan penduduk, selain tiada ruang untuk penambahan ruang menyebabkan masjid baharu dibina di bandar ini bagi menggantikan fungsi utama Masjid Kampung Air Barok.

RAHIM  melihat mimbar yang masih mengekalkan keasliannya.
RAHIM melihat mimbar yang masih mengekalkan keasliannya.

Bekas sidang kampung berkenaan, Roslan Mohd Din, 73, berkata, struktur bangunan berbentuk empat segi dengan gabungan batu dan kayu selain bumbung berlapis tiga disusun dengan genting Marseille jelas menyerlahkan seni binanya.

Katanya, lebih menarik, bahagian puncaknya diukir dengan batu manakala empat tiang serinya daripada batu bata yang dihias jubin corak bunga timbul.

Ia antara keindahan corak seni binanya.

TIANG seri timbul Masjid Kampung Air Barok, Jasin amat menarik.
TIANG seri timbul Masjid Kampung Air Barok, Jasin amat menarik.

"Keunikan ciri binaan Masjid Kampung Air Barok yang mengagumkan serta berkualiti membolehkan tiada aspek asal atau struktur seni bina bangunan terjejas walaupun dipercayai berusia lebih 105 tahun.

"Berdasarkan maklumat mengenai Masjid Kampung Air Barok yang dipulihara Jabatan Muzium dan Antikuiti Negeri Melaka, lantai marmar masjid adalah buatan Itali dan ia masih kekal asli. Jemaah cukup selesa malah dapat beribadat dengan tenang," katanya.

Menurutnya, setiap tiang seri Masjid Kampung Air Barok dipercayai ditaja oleh golongan bangsawan dan penduduk kampung berkenaan.

Bukan itu saja, malah pagar batu di sekeliling masjid juga masih baik.

TIANG seri timbul Masjid Kampung Air Barok, Jasin amat menarik.
TIANG seri timbul Masjid Kampung Air Barok, Jasin amat menarik.

Penduduk, Datuk Rahim Aziz, 66, berkata, masjid berkenaan dilengkapi 11 pintu kayu yang masih kukuh.

Menurut beliau, pintu dibuat dalam jumlah banyak kerana kedudukan masjid yang ketika itu terletak di kawasan kampung dan sawah.

"Malah, ketika itu, jemaah juga boleh melihat Gunung Ledang dengan jelas. Bagaimanapun, hasil perkembangan pesat, pandangan itu kini terlindung.

"Bukan itu saja, malah sebuah perigi lama yang digunakan untuk mengambil wuduk juga masih ada," katanya.

PERIGI lama yang masih kekal di kawasan masjid.
PERIGI lama yang masih kekal di kawasan masjid.

Idris Muharam, 75, pula memaklumkan dahulu ada beduk yang digunakan untuk memaklumkan masuk waktu bagi solat fardu.

Namun, katanya, beduk berkenaan kini dikatakan disimpan di Muzium Negara.

"Saya ke masjid ini sejak kecil dan ciri asalnya memang masih kekal hingga kini. Saya cukup selesa bersolat di masjid ini, persekitarannya mendamaikan, malah keadaan bangunan dan bahagian dalamnya juga bersih.

"Setiap kali ke masjid ini, saya akan terimbau kenangan ketika bersama-sama rakan sebaya solat berjemaah termasuk menunaikan solat Tarawih," katanya.

Menurut Idris, lantai marmar masjid berkenaan dikatakan pernah digunakan di istana kesultanan Deli, Sumatera, Indonesia sebelum dibeli oleh seorang saudagar dari Jasin dikenali sebagai Haji Babu.

"Walaupun ada masjid baru di bandar ini namun saya masih bersolat di sini. Masjid ini sudah sebati dalam jiwa," katanya.

Sementara itu, Hasnor Madin, 77, berkata, Masjid Kampung Air Barok amat unik dan seni binanya menggambarkan kepakaran tukang terdahulu.

"Ia termasuk binaan tangga batu dan mimbar. Malah, dengan segala kemudahan yang amat terhad dan kekurangan pada ketika itu, ia memperlihatkan kreativiti dan idea tukang yang bertanggungjawab menyiapkan pembinaan Masjid Kampung Air Barok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 April 2021 @ 9:21 AM