Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Selepas lebih dua bulan tidak dapat menunaikan solat Jumaat dan fardu di masjid akhirnya jemaah di negeri ini berpeluang berbuat demikian.

Berkuatkuasa hari ini, 40 jemaah iaitu kakitangan masjid dan jemaah terpilih dibenarkan berbuat demikian di masjid negeri, bandar, jajahan, mukim, dan surau di seluruh negeri.

Seorang jemaah, Mohd Azlan Abd Aziz, 60, yang ditemui di Masjid Muhammadi di sini, bersyukur kerana berpeluang menunaikan solat Jumaat pada hari ini.

"Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kerana dapat menunaikan solat Jumaat selepas sekian lama tidak dapat datang ke masjid ini.

"Namun, saya dan jemaah lain sentiasa ingat dan patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) memandangkan kes Covid-19 di Kelantan masih lagi tinggi," katanya di sini, hari ini.

Pekerja swasta, Ahmad Faris Abdul Halim, 34, berkata, dia datang ke masjid sebelum jam 12 tengah hari untuk memastikan dirinya dapat menunaikan solat Jumaat.

Katanya, dia datang awal kerana mahu menjadi antara 40 jemaah yang terpilih memandangkan lebih dua bulan tidak dapat menunaikan solat Jumaat susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana angka jangkitan Covid-19 yang tinggi.

40 jemaah menunaikan solat Jumaat pada hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
40 jemaah menunaikan solat Jumaat pada hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Syukur, saya menjadi antara 40 jemaah yang bertuah menunaikan solat Jumaat di sini, walaupun masjid ini menjadi tumpuan ramai.

"Semua jemaah yang hadir perlu ikut SOP yang ditetapkan iaitu memakai pelitup muka, membawa sejadah sendiri, memeriksa suhu dan lengkap dua dos vaksinasi.

"Jemaah juga menjaga penjarakan sosial dan terus pulang selepas doa habis dibacakan. Saya harap di masa terdekat ini, bilangan jemaah akan ditambah dengan lebih ramai," katanya.

Terdahulu solat Jumaat itu diimamkan oleh Imam Kanan Masjid Muhammadi Halim Saari dan khutbah dibaca oleh Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Khutbah Jumaat bertajuk Peringatan Hari Malaysia di mana ingatan kepada jasa-jasa pahlawan dan pemimpin yang terdahulu demi keamanan negara.

Media melaporkan, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) membenarkan 40 jemaah iaitu kakitangan masjid dan jemaah terpilih menunaikan solat Jumaat dan fardu di masjid negeri, bandar, jajahan, mukim, dan surau di seluruh negeri, berkuat kuasa hari ini.

Perkara itu mendapat perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Ketua Agama Islam Negeri seperti peruntukan Perkara 6 (1) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 4:12 PM