Mohd Amin Jalil


Seremban: Tiada keperluan setakat ini untuk menutup sesi persekolahan di Negeri Sembilan kerana kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan pelajar dan guru masih terkawal.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, penutupan sekolah hanya dilakukan apabila terdapat kes positif Covid-19 dan ibu bapa dinasihat tidak panik.

"Memang ada kes jangkitan Covid-19 di sekolah iaitu dua sekolah dimaklumkan. Masyarakat tidak harus panik, semua diingatkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya selepas menyempurnakan program bersama asnaf daerah Seremban anjuran Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) di sini, tadi.

Turut hadir, Pengerusi Mains, Datuk Dr Abdul Aziz Sheikh Ab Kadir.

Aminuddin mengingatkan ibu bapa supaya tidak menghantar anak bergejala ke sekolah atau pelajar yang menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19.

AMINUDDIN HARUN
AMINUDDIN HARUN

"Tanggungjawab kita hari ini adalah menjaga kesihatan masyarakat keseluruhannya bukan diri sendiri sahaja," katanya.

Kelmarin media melaporkan, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seremban 2 di sini, ditutup tujuh hari hingga 29 April berikutan 17 warganya disahkan positif Covid-19.

Sementara itu, 179 individu dari Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu dikuarantin di pusat kuarantin Institut Aminuddin Baki dan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Nilai selepas tiga warganya disahkan positif Covid-19 namun sekolah itu tidak ditutup.

Berkenaan program berkenaan, Aminuddin berkata, MAINS memperuntukkan sejumlah RM152 juta untuk diagihkan kepada lapan golongan asnaf yang layak di negeri ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 April 2021 @ 4:15 PM