BALU Presiden Idriss Deby, hari ini, hadir pada majlis pengebumian Presiden Nigeria itu yang meninggal dunia Selasa lalu. FOTO AFP
BALU Presiden Idriss Deby, hari ini, hadir pada majlis pengebumian Presiden Nigeria itu yang meninggal dunia Selasa lalu. FOTO AFP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Nigeria memantau rapi perkembangan politik di kejiranan Chad berikutan pertempuran terus berlaku walaupun selepas kematian Presiden Idriss Deby, Selasa lalu.

Jurucakap Pejabat Suruhanjaya Tinggi di Abuja berkata, misi itu juga dalam komunikasi berterusan dengan satu-satunya rakyat Malaysia di situ dan Kementerian Luar Chad untuk mendapatkan maklumat terkini.

"Kami sedia membantu mana-mana rakyat Malaysia di Chad, Nigeria dan semua negara jiran yang diwakili suruhanjaya ini, yang memerlukan bantuan konsular terutama ketika keadaan darurat atau situasi tidak aman," katanya dalam balasan e-mel kepada Bernama.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Abuja, Nigeria juga bertanggungjawab bagi Benin, Cameroon, Republik Afrika Tengah, Chad, Guinea Khatulistiwa dan Gabon.

Jurucakap itu berkata, Suruhanjaya Tinggi di Nigeria ingin menasihati semua warga Malaysia di Nigeria dan negara yang diwakili suruhanjaya itu agar sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan dan mengelak kawasan tidak aman yang dilaporkan.

Rakyat Malaysia di sana dinasihatkan untuk mendaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Abuja, Nigeria, melalui e-mel: [email protected].

Mengikut rekod Suruhanjaya Tinggi, hanya ada seorang rakyat Malaysia yang tinggal di Chad.

Dia bekerja dengan organisasi bukan kerajaan dan kini berada di Hadjer-Hadid, timur Chad.

"Suruhanjaya Tinggi sentiasa berhubung dengan beliau dan tempatnya juga dilaporkan tenang dan bebas daripada pertempuran atau serangan pemberontak," katanya.

Pertempuran ganas tercetus di negara Afrika itu apabila kumpulan pemberontak bertempur menuju ke ibu kota Chad - N'djamena, susulan keputusan pilihan raya 11 April yang dimenangi mendiang Presiden Idriss Deby.

Selasa lalu, tentera Chad mengumumkan Deby meninggal dunia akibat cedera ketika bertempur di barisan hadapan dengan pemberontak. Deby, 68, memerintah Chad sejak 1990.

Sementara itu, Agensi Anadolu melaporkan pergolakan di Republik Afrika Tengah itu juga memaksa sekurang-kurangnya 7,000 pelarian melarikan diri ke Chad sejak minggu lalu.

Dalam siri ciapan Tweeter, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNCHR) mengatakan pada 31 Mac, sekitar 107,280 pelarian Afrika Tengah dan pencari suaka tinggal di Chad, lapor agensi berita itu.

Situasi di Republik Afrika Tengah bertambah buruk selepas pencalonan bekas Presiden Francois Bozize ditolak untuk Pilihan Raya Presiden Disember 2020.

"Permusuhan antara gabungan kumpulan bersenjata bukan kerajaan dan pasukan tentera kerajaan terus berlanjutan selama empat bulan terakhir, membawa negara itu ke kancah keganasan baharu," tambah laporan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 April 2021 @ 5:09 PM