PENYOKONG mengibarkan bendera Nigeria ketika berhimpun menyokong junta Niger di Niamey. FOTO AFP.
PENYOKONG mengibarkan bendera Nigeria ketika berhimpun menyokong junta Niger di Niamey. FOTO AFP.
BERNAMA

Kigali, Rwanda: Pemimpin blok Komuniti Ekonomi Negara Afrika Barat (ECOWAS) mengarahkan pemimpin rampasan kuasa tentera Niger, semalam supaya mengembalikan semula jawatan Presiden Mohamed Bazoum yang digulingkan dalam tempoh seminggu.

Komander pengawal presiden Niger, Jeneral Abdorahahamane Tchiani, mengisytiharkan dirinya sebagai ketua kerajaan peralihan pada Jumaat, dua hari selepas tentera menggulingkan Bazoum.

Pemimpin ECOWAS yang mengadakan sidang kemuncak tergempar di Abuja, ibu negara Nigeria, memberi amaran bahawa mereka akan "mengambil apa jua tindakan" termasuk "menggunakan kekerasan" bagi memulihkan keamanan di Niger, lapor menurut Agensi Anadolu.

ECOWAS juga mengenakan sekatan kewangan ke atas pemimpin rampasan kuasa, membekukan transaksi komersial dan kewangan antara negara-negara dalam blok itu dan Niger, selain mengenakan larangan perjalanan ke atas pegawai tentera yang terlibat dalam rampasan kuasa itu.

"Sama ada kita menganggapnya sebagai dialog membina atau sebaliknya, apa sahaja keputusan yang dicapai, saya mahu kita menjadi kuat dan tegas mengenai kelangsungan hidup Bazoum serta kebebasan dan pemulihan kerajaan yang dipilih secara perlembagaan di Republik Niger," kata Presiden Nigeria dan Pengerusi blok itu Bola Ahmed Tinubu pada mesyuarat itu.

Mesyuarat itu dihadiri oleh Presiden Macky Sall dari Senegal, Umaro Sissoco dari Guinea-Bissau, Faure Gnassingbe dari Togo dan Alassane Ouattara dari Ivory Coast.

Ketua negara lain yang hadir termasuk Patrice Talon dari Benin, Nana Akufo-Addo dari Ghana dan Adama Barrow dari Gambia dan Presiden peralihan Chad, Mahamat Deby.

Mesyuarat itu diadakan sehari selepas Kesatuan Afrika memberi masa 15 hari kepada pemimpin rampasan kuasa tentera untuk berundur dan memulihkan kuasa kerajaan berperlembagaan.

Sidang kemuncak tergempar itu juga diadakan sehari selepas pemimpin rampasan kuasa memberi amaran terhadap campur tangan tentera.

Penyokong rampasan kuasa yang menjerit slogan anti-Perancis, menyerang dan membakar pintu di kedutaan Perancis, di Niamey, ibu negara Niger, pada Ahad.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2023 @ 3:08 PM