PREMA bersama bayinya, Sudharshanan di Gleneagles Hospital, Kuala Lumpur. FOTO Hazreen Mohamad
PREMA bersama bayinya, Sudharshanan di Gleneagles Hospital, Kuala Lumpur. FOTO Hazreen Mohamad
Suhanna Iskandar dan Nur Elysa Amirah Suhaimi


Kuala Lumpur: Pilu hati seorang ibu apabila bayinya yang baru berusia dua bulan menghidapi masalah jantung kongenital (CHD).

Prema Thiaga Rajan, 31, berkata, bayinya Sudharshanan Anandkumar mengalami masalah jantung terbalik dan perlu menjalani pembedahan segera bagi membolehkannya bernafas dengan lancar.

"Saluran jantung sepatutnya berada di sebelah kanan tapi saluran bayi saya terbentuk pada sebelah kiri dan inilah yang menyebabkannya sukar bernafas.

"Pembedahan jantung sudah dilakukan pada 17 November lalu dan anak saya kini masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU) untuk pemantauan," katanya ketika ditemui, hari ini.

Prema berkata, dia dan suami Anandkumar Renge Nadar, 31, kini buntu memikirkan kos pembedahan pembetulan (corrective surgery) anaknya itu berjumlah RM50,000 yang akan dijalankan di Hospital Gleneagles, di sini.

"Kami tidak mampu menanggung kos pembedahan itu kerana suami hanya bekerja di syarikat logistik dengan berpendapatan RM3,000 sebulan, saya pula tidak bekerja.

"Saya amat mengharapkan orang ramai sudi menyumbang untuk memastikan pembedahan bayi saya dapat berjalan dengan lancar," katanya.

Bercerita lanjut, Prema berkata, ketika mengandungkan Sudharshanan, dia tiada masalah kesihatan dan bayinya itu juga dilahirkan normal pada 28 September lalu.

"Pada awal pemeriksaan di klinik kesihatan, anak saya hanya mengalami demam kuning, namun selepas beberapa hari kami lihat pernafasannya semakin laju dan itu merisaukan kami.

"Apabila diperiksa, anak kami mengalami masalah jantung terbalik dan perlu menjalani pembedahan segera," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan dalam bentuk cek dengan menulis nama pesakit di belakang cek kepada Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP dan sumbangan kepada tabung berkenaan layak mendapat pelepasan cukai.

Sumbangan boleh dialamatkan kepada Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Berhad, Tingkat 5, Anjung Riong, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

Sumbangan juga boleh disalurkan menerusi akaun bank Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP (Bank Muamalat - 14010008842718) atau (Maybank - 514105323170) dan nyatakan nama pesakit pada bahagian rujukan penerima atau butiran pembayaran lain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2023 @ 3:27 PM