Gambar hiasan. FOTO NSTP.
Gambar hiasan. FOTO NSTP.
Asrol Awang


Kuantan: Bazar Ramadan Balok, di sini menjadi bazar pertama di daerah ini yang diarah tutup kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Datuk Hamdan Hussin berkata, penutupan bazar itu selama lima hari bermula semalam, selepas penganjur dikesan tidak melakukan pemeriksaan suhu, tiada pendaftaran masuk mahupun penyediaan laluan sehala.

"Malah, kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah juga dibenarkan masuk ke bazar. Jadi keputusan menutup sementara Bazar Ramadan Balok ini untuk memastikan tiada penularan wabak Covid-19.

"Ia juga bukan tindakan mengejut kerana dilakukan hasil daripada pemantauan oleh penguat kuasa dan pasukan pemantau," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Hamdan berkata, operasi bazar itu akan dibuka selepas pihaknya bersama Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan berpuas hati dengan pematuhan SOP oleh penganjur.

Beliau mengingatkan semua penganjur bazar Ramadan supaya patuh dengan garis panduan yang ditetapkan bagi mengelak dikenakan tindakan.

Sebanyak 26 lokasi bazar Ramadan, termasuk Balok dibenarkan beroperasi kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 6:30 PM