X
SUASANA berbuka puasa di padang MBK 1 pada 2018. FOTO arkib NSTP
SUASANA berbuka puasa di padang MBK 1 pada 2018. FOTO arkib NSTP
Asrol Awang

am@hmetro@hmetro.my

Kuantan: Kerajaan negeri tidak membenarkan orang ramai berbuka puasa di padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK)1, di sini, sepanjang Ramadan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Datuk Abd Rahim Muda berkata, keputusan itu bertujuan menyekat penularan wabak Covid-19 yang masih berlaku.

"Kerajaan negeri meminta umat Islam di daerah ini yang berhasrat berbuka puasa di padang MBK 1 akur dengan arahan ditetapkan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Setiap kali Ramadan, padang MBK 1 menjadi tumpuan masyarakat untuk berbuka puasa kerana lokasi yang terletak di pusat bandar raya itu.

Pada masa sama, bazar Ramadan yang beroperasi berhampiran padang MBK 1 turut memudahkan orang ramai membeli juadah berbuka.

Mengenai peniaga bazar Ramadan di Pahang tahun ini, beliau berkata, seramai 1,836 orang dibenarkan berniaga di 58 lokasi.

Katanya, MBK merekodkan jumlah peniaga paling ramai iaitu 885 orang membabitkan 25 lokasi.

"Semua peniaga diminta mematuhi syarat wajib prosedur operasi standard (SOP) iaitu pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal satu meter, pemeriksaan suhu dan kebersihan gerai.

"Peniaga diwajibkan menutup makanan sepanjang masa dan dilarang menggunakan bekas bungkusan makanan daripada styrofoam.

"Namun, peniaga dibenarkan menggunakan kertas pembungkus khas atau pembungkus plastik High-Density Polyethylene (HDPE)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 11:06 AM