Siti Rohana Idris


Tumpat: Selepas lima hari pemergian ibu tersayang, perasaan rindu semakin dirasai dalam diri Nor Syafira Mohd Razali yang kini hidup sebatang kara.

Nor Syafira, 11, berkata kerinduan itu akan dirasai menjelang waktu malam kerana dia sering berbual dan bercerita bersama arwah ibunya, Norhayati Che Noh, 45, sebelum tidur ketika hayatnya.

"Memang (kerinduan) sangat terasa kerana hidup saya selama ini hanya dengan umi, segalanya kami kongsi bersama.

"Kini saya menumpang di rumah saudara di sebelah rumah, manakala pada waktu siang saya akan meluangkan masa di rumah kami kerana rindukan umi," katanya.

Nor Syafira berkata demikian ketika ditemui selepas membeli barang keperluan harian ditemani wakil kumpulan aktivis masyarakat, Cempaka Merah Asnaf Society, di sini, hari ini.

Kisah Nor Syafira menjaga ibunya yang sakit sehingga menyebabkannya terpaksa 'ponteng' sekolah sepanjang tahun ini pernah dipaparkan dalam akhbar Harian Metro.

Bagaimanapun, Norhayati yang menderita penyakit darah tinggi, kencing manis kronik dan buah pinggang meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu pada malam Rabu lalu selepas 10 hari mendapatkan rawatan.

Nor Syafira berkata, banyak pihak berhasrat untuk menjaganya, namun dia lebih selesa bersama saudaranya kerana selain tinggal berjiran, pusara arwah ibunya juga dekat bagi memudahkannya berkunjung.

"Setiap kali teringat, saya akan sedekahkan Al-Fatihah buat umi dan berdoa agar umi ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

"Saya juga rindu untuk kembali bersekolah dan berhasrat untuk memulakannya secepat mungkin kerana mahu capai impian menjadi anggota tentera suatu hari nanti," katanya.

Nor Syafira kini hidup sebatang kara selepas ibunya, Norhayati Che meninggal dunia akibat menderita penyakit darah tinggi, kencing manis kronik dan buah pinggang  Rabu lalu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR.
Nor Syafira kini hidup sebatang kara selepas ibunya, Norhayati Che meninggal dunia akibat menderita penyakit darah tinggi, kencing manis kronik dan buah pinggang Rabu lalu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2020 @ 3:38 PM