SITI Noradila memberi Nur Shazia Airis minum susu melalui tiub yang dipasang di hidungnya. FOTO Hazira Ahmad Zaidi.
SITI Noradila memberi Nur Shazia Airis minum susu melalui tiub yang dipasang di hidungnya. FOTO Hazira Ahmad Zaidi.
Hazira Ahmad Zaidi


TUBUH dan pipi montel bukan bermakna bayi ini membesar dengan sihat sebaliknya, Nur Shazia Airis Mohd Syazwan menanggung penyakit yang tidak dijangka keluarganya.

Baru berusia 11 bulan, Nur Shazia Airis mengalami keadaan yang mana pankreasnya menghasilkan insulin berlebihan dikenali Congenital Hyperinsulinism.

Ibunya, Siti Noradila Mohd Nurdin, 26, berkata, anak bongsu daripada dua beradik itu dikesan menghidap penyakit berkenaan selepas lima jam dilahirkan.

“Saya melahirkannya di Hospital Machang namun, dia mengalami kebiruan dan dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan lanjut sebelum disahkan menghidap penyakit itu.

“Tiga bulan dia dalam pemantauan sebelum dibenarkan pulang ke rumah kami di Kampung Merbau Chondong, Machang.

“Jika tengok luaran, dia nampak sihat dengan pipi dan tubuh montel tetapi hakikatnya, dia menderita penyakit yang perlu bergantung kepada ubat seumur hidupnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya, baru-baru ini.

Siti Noradila berkata, Nur Shazia Airis perlu mengambil ubat empat kali sehari untuk mengawal paras gula dalam badannya selain berjumpa pakar endokrinologi di HUSM sebulan sekali.

“Jika kekurangan gula yang teruk, dia mudah diserang sawan. Sebelum ini, sampel saya, suami dan anak sulung diambil untuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA) di makmal luar negara.

“Ia untuk pengesahan penyakit dan cadangan rawatan serta lain-lain berkaitan penyakit anak namun, sudah enam bulan menunggu keputusan itu,” katanya.

Buat sementara waktu, pakar tempatan mengesyorkan Nur Shazia Airis mengambil ubat mengawal paras gula dan menjalani pembedahan Laparoscopic Pancreas di China atau Eropah.

Bagaimanapun Siti Noradila berkata, pembedahan di luar negara memerlukan perbelanjaan tinggi dan sukar ditanggung keluarganya.

Ketika ini katanya, dia perlu memperuntukkan RM1,000 untuk membeli perubatan anaknya dan kelengkapan lain seperti jarum suntikan serta susu.

Suaminya, Mohd Syazwan Mat Yaakub, 30, adalah penjawat awam yang berpendapatan RM1,700 sebulan, manakala anak sulung, Muhammad Syamil Azfar, 5, bersekolah.

“Besar harapan kami untuk melihat Nur Shazia Airis sembuh dan menjalani kehidupan sempurna seperti kanak-kanak lain,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Siti Noradila di talian 0145307190.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 January 2020 @ 3:27 PM