HASNI (tengah) diiringi Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan (kiri) dan Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi (kanan) menyempurnakan Majlis Kick Start Program MEKAR di Dewan Banquet, Universiti Teknologi Malaysia, Johor Bahru. FOTO Nurul Amanina Suhaini
HASNI (tengah) diiringi Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan (kiri) dan Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi (kanan) menyempurnakan Majlis Kick Start Program MEKAR di Dewan Banquet, Universiti Teknologi Malaysia, Johor Bahru. FOTO Nurul Amanina Suhaini
Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: Kesalahan jenayah indeks membabitkan pelajar sekolah di negeri ini adalah paling tinggi berbanding jenayah bukan indeks dan narkotik.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sebanyak 1,230 tangkapan membabitkan golongan itu bagi kesalahan jenayah indeks pada 2019, manakala 601 pelajar tahun lalu dan 77 pelajar bagi tempoh Januari hingga Mac lalu.

Katanya, kesalahan jenayah yang dilakukan membabitkan curi kenderaan, mencederakan orang, pecah rumah, rogol dan samun.

"Hampir 99 peratus kesalahan jenayah ini dilakukan pelajar sekolah menengah dengan pelajar lelaki mendominasi pelaku jenayah.

"Perangkaan pelajar menjadi mangsa perlakuan jenayah menunjukkan 58 peratus mangsa adalah terdiri daripada pelajar perempuan, manakala 42 peratus pelajar lelaki.

"Mangsa perlakuan jenayah membabitkan pelajar sekolah berusia 13 hingga 18 tahun merangkumi kes rogol, diikuti mencederakan orang, curi kenderaan, orang hilang dan cabul," katanya pada program Modul Kesedaran Jenayah Kanak-kanak dan Remaja (MEKAR) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dan Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail.

Ayob Khan berkata, bagi kes narkotik, pembabitan pelajar sebagai pelaku jenayah pada 2019 adalah seramai 43 orang, manakala 36 pelajar bagi tahun lalu dan empat pelajar pula bagi tempoh Januari hingga Mac lalu.

"Meskipun perangkaan jenayah membabitkan pelajar menunjukkan penurunan, mungkin faktor pandemik Covid-19 yang melanda negara, namun langkah pencegahan serta program kesedaran perlu dilakukan supaya kes jenayah dapat ditangani," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 4:58 PM