AIDI (dua kiri) pada sidang media khas di Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu. FOTO Ghazali Kori.
AIDI (dua kiri) pada sidang media khas di Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu. FOTO Ghazali Kori.
Norizuan Shamsuddin


INDEKS Jenayah Terengganu tahun lalu meningkat 2.58 peratus berbanding 1,823 kes pada 2018 yang membabitkan jenayah kekerasan dan harta benda.

Ketua Polis Terengganu Datuk Aidi Ismail berkata, jenayah kekerasan meningkat dua kes kepada 293 kes pada 2019 berbanding 291 kes pada 2018.

“Bagi jenayah kekerasan, hanya kes rogol mencatatkan peningkatan 17 kes daripada 63 kes pada 2018.

“Sementara kes bunuh, samun berkumpulan bersenjata api, samun berkumpulan tanpa senjata api, samun bersenjata, samun tanpa senjata dan mencederakan, menunjukkan penurunan,” katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.

Aidi berkata, terdapat peningkatan sebanyak 45 kes (2.94 peratus) iaitu daripada 1,532 kes kepada 1,577 kes bagi kategori jenayah harta benda.

“Kes curi meningkat 105 kes daripada 420 kes pada 2018 kepada 524 kes pada 2019 dan disusuli kes pecah rumah yang bertambah kepada 430 kes bagi tempoh sama.

“Bagaimanapun, curi motosikal menurun 139 kes iaitu daripada 605 kes pada 2018 kepada 466 kes (2019),” katanya yang memberitahu tangkapan narkotik meningkat sembilan peratus kepada 9,996 tangkapan, sepanjang tahun lalu.

Katanya, kadar pertuduhan bagi kes narkotik juga memberangsangkan dengan pencapaian 61.47 peratus apabila sebanyak 5,130 kes daripada 8,345 kertas siasatan yang dibuka berjaya dituduh di mahkamah.

Sebanyak lapan sindiket pengedaran dadah berjaya ditumpaskan hasil 19 serbuan dan Polis Terengganu berjaya menangkap 26 individu serta mereka sudah dituduh dan diambil tindakan di bawah Langkah- Langkah Pencegahan Khas (LLPK).

“Nilai rampasan pelbagai jenis dadah sepanjang tahun lalu juga meningkat dengan jumlah keseluruhan RM6,352,498.25, berbanding RM3,398,428.92 dicatatkan pada tahun sebelumnya.

“Selain itu, nilai sitaan harta meningkat kepada RM3,765,668.42 berbanding RM1,306,900.86 pada 2018,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 January 2020 @ 3:39 PM