Suspek berusia 35 tahun yang dipercayai terbabit dalam kemalangan maut Konstabel Muhammad Iqbal Mazlan, direman selama tujuh hari bermula hari ini. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Suspek berusia 35 tahun yang dipercayai terbabit dalam kemalangan maut Konstabel Muhammad Iqbal Mazlan, direman selama tujuh hari bermula hari ini. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Lelaki yang terbabit dalam kemalangan menyebabkan kematian seorang anggota polis direman selama tujuh hari bermula hari ini.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Khalijah Mohd Khalid.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, suspek berusia 35 tahun itu direman sehingga Sabtu ini untuk membantu siasatan.

"Mahkamah membenarkan suspek direman selama tujuh hari, bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Harian Metro melaporkan Konstabel Muhammad Iqbal Mazlan, 22, yang menunggang motosikal meninggal dunia ketika mengejar suspek di Jalan Utama, di sini.

Terdahulu, mangsa bersama dua anggota dari Balai Polis Dato' Kramat terserempak dengan suspek ketika melakukan rondaan cegah jenayah di Jalan Scotland, di sini.

Suspek bertindak memecut motosikal bagi melarikan diri sebelum tiga anggota polis terbabit mengejarnya sehingga ke Jalan Utama.

Lelaki itu yang menunggang secara berbahaya dikatakan menghimpit mangsa untuk meloloskan diri menyebabkan kedua-duanya terbabas sehingga kepala anggota polis berkenaan terhantuk pada tebing jalan.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 April 2021 @ 1:39 PM