Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kajang: Permintaan tinggi, kekurangan bekalan serta hujan menjadi alasan pembekal menaikkan harga ayam serta beberapa jenis sayuran, baru-baru ini.

Peniaga sayur, Muhammad Nasir Ali, 32, berkata, antara sayuran yang mengalami kenaikan harga ialah timun, daun bawang, tomato dan kacang panjang.

"Kenaikan harga antara 50 sen hingga lebih RM1 sejak awal bulan ini.

"Keadaan itu menyebabkan peniaga terpaksa menaikkan harga sayuran kerana harga yang diperolehi daripada pembekal sudah naik.

"Apabila ditanya kepada pembekal, mereka memaklumkan harga naik kerana kekurangan bekalan susulan permintaan tinggi dan hujan," katanya ketika ditemui di Pasar Kajang, di sini, hari ini.

Muhammad Nasir berkata, kenaikan beberapa sayuran itu menyebabkan pembelian juga menurun.

"Ramai pembeli menyatakan ketidakpuasan hati mereka kerana kenaikan harga sayur berkenaan. Namun, kami perlu jelaskan ia berlaku disebabkan peniaga terpaksa menaikkan harga kerana harga pembekal sudah naik.

"Keadaan ini menyebabkan sesetengah pembeli akan mengehadkan pembelian sayur dari satu kilogram kepada setengah kilogram," katanya.

HARGA ayam naik antara RM8 hingga RM9 sekilogram di Pasar Kajang. FOTO Hairul Anuar Rahim
HARGA ayam naik antara RM8 hingga RM9 sekilogram di Pasar Kajang. FOTO Hairul Anuar Rahim

Bagi peniaga ayam pula, Mohd Fauzi Zakaria, 36, harga bahan mentah itu menunjukkan peningkatan sejak awal bulan ini.

"Dalam bulan ini saja, sudah empat kali harga ayam (dari pembekal) naik sekali gus memaksa kami menaikkan harga antara lebih RM8 hingga lebih RM9 bergantung kepada harga pembelian dari pembekal.

"Kenaikan ini adalah yang paling teruk saya rasa kerana sebelum ini harganya akan menurun semula selepas naik beberapa kali. Namun kali ini, tidak kelihatan penurunan harga," katanya.

Sementara itu, pembeli, Aminuddin Kodir, 36, berkata, dia menyedari kenaikan harga ayam serta beberapa sayuran berlaku seminggu sebelum Ramadan.

"Pada bulan lalu, saya beli ayam pada harga RM8 sekilogram. Namun, saya perasan harga ayam naik sehingga RM9.50 sekilogram seminggu sebelum puasa.

"Kenaikan harga ini menyebabkan saya mula mengehadkan pembelian ayam dari seminggu sekali kepada dua minggu sekali.

"Bukan saja harga ayam tetapi beberapa barangan lain termasuk sayuran juga dilihat naik. Keadaan ini menyebabkan saya sebagai pengguna terbeban dengan kenaikan harga itu," katanya yang bekerja sebagai jurutera projek.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 April 2021 @ 12:15 PM