PENIAGA ayam di Pasar Awam Bukit Mertajam terpaksa menaikkan harga jualan ayam segar antara RM9 ke RM9.50 selepas pembekal memaklumkan ketiadaan bekalan ekoran PKP. FOTO Nur Izzati Mohamad
PENIAGA ayam di Pasar Awam Bukit Mertajam terpaksa menaikkan harga jualan ayam segar antara RM9 ke RM9.50 selepas pembekal memaklumkan ketiadaan bekalan ekoran PKP. FOTO Nur Izzati Mohamad
Nur Izzati Mohamad

PENIAGA ayam di Pasar Awam Bukit Mertajam mendakwa terpaksa menaikkan harga ayam segar antara RM9 ke RM9.50 sekilogram kepada pelanggan sejak minggu lalu.

Kenaikan mendadak itu berlaku berikutan modal yang dikeluarkan mereka tinggi selepas pembekal memaklumkan bahawa kekurangan bekalan ayam disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mohd Hafizie Md Saad, 39, berkata, dia yang berniaga ayam sejak 2004 ingin membantu pelanggan dengan menjual ayam pada harga berpatutan, namun tidak dapat berbuat demikian kerana harga yang dijual pembekal kepada mereka didapati sentiasa naik sejak beberapa minggu lalu.

"Kebiasaannya modal yang dikeluarkan sekitar RM4 bagi sekilogram ayam tetapi kali ini kami keluarkan RM8 sekilogram, naik dua kali ganda.

"Hal ini menyebabkan kami terpaksa menaikkan harga ayam jika tidak kami akan menanggung kerugian lebih besar apatah lagi keuntungan yang diperoleh juga sangat kecil berbanding sebelum PKP.

"Selepas ditolak dengan bayaran gaji pekerja dan kos lain, berapa sahaja yang boleh kami dapat untuk menyara keluarga," katanya ketika ditemui hari ini.

Menurutnya, setiap kali dia bersama peniaga lain bertanyakan kepada pembekal mereka sering mendapat alasan sama bahawa kekurangan bekalan menyebabkan harga ayam terpaksa dinaikkan.

"Hal ini menyebabkan pelanggan beranggapan kami mengambil kesempatan dengan menaikkan harga ayam sesuka hati tetapi dan akibatnya pelanggan pun mula lari kerana ayam yang dijual terlalu mahal," katanya.

Bagi seorang lagi peniaga ayam, Hafidzuin Jamil Noorzihad, 31, berkata, dia meminta pihak berkaitan membuat pemeriksaan terhadap pembekal ayam dan menyiasat alasan sama ada benar atau tidak ketiadaan bekalan yang dimaksudkan.

"Ini bukan soal periuk nasi peniaga sahaja tetapi juga pelanggan yang mana sekarang kami tidak mampu menjual pada harga murah seperti sebelum ini.

"Bayangkan perniagaan saya juga merosot sekitar 50 peratus kerana masalah ini memandangkan ketiadaan pelanggan," katanya.

Sementara itu, seorang pelanggan, Rumiyati Dul Hadi,40, berkata, dia berharap harga ayam kembali stabil berikutan bakal menyambut Aidilfitri minggu hadapn.

"Kenaikan ini sangat mendadak dan tentunya ada pelanggan terbeban terutama bagi mereka yang tidak bergaji sejak pandemik wabak Covid-19.

"Pihak berkaitan perlu berbuat sesuatu apatah lagi ayam menjadi lauk utama yang dihidangkan ketika hari raya," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2020 @ 4:00 PM