SYEIKH Zakaria Othman (kanan) bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Ammar Shaikh Mahmood (kiri) serta wakil-wakil agensi kerajaan negeri Kedah menunjukkan replika Asnaf Care simbolik pelancaran Sistem ASNAFCARE di Menara Zakat. FOTO Amran Hamid
SYEIKH Zakaria Othman (kanan) bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Ammar Shaikh Mahmood (kiri) serta wakil-wakil agensi kerajaan negeri Kedah menunjukkan replika Asnaf Care simbolik pelancaran Sistem ASNAFCARE di Menara Zakat. FOTO Amran Hamid
Noorazura Abdul Rahman


LEMBAGA Zakat Negeri Kedah (LZNK) merayu orang ramai membantu pihaknya untuk meneruskan bantuan ke atas asnaf negeri itu sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Syeikh Zakaria Othman berkata, ketika ini pihaknya sudah mencapai defisit hampir RM9 juta, berbanding jumlah zakat terkumpul RM30 juta.

Katanya, ia termasuk yang kita umumkan peruntukan RM7 juta bagi tujuan sama sebelum ini.

“LZNK kini dalam proses mengagihkan beras kepada 576 masjid di Kedah dengan setiap masjid akan dapat 200 kampit beras yang memanfaatkan 115,000 keluarga asnaf.

“Namun bekalan ini tidak mencukupi dan semakin meruncing untuk minggu kedua dan seterusnya. Jadi saya merayu orang ramai untuk membantu supaya kita sama-sama dapat menjaga kebajikan asnaf sehingga PKP tamat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Pelancaran Aplikasi Asnaf Care LZNK di Alor Setar, hari ini yang turut dihadiri Mufti Kedah Datuk Syeikh Fadzil Awang.

Mengulas lanjut, Zakaria berkata, aplikasi itu diwujudkan bagi memudahkan orang ramai untuk menyalurkan sumbangan semasa PKP.

Katanya, orang ramai boleh menyumbang bantuan seperti beras, sardin, minyak masak, biskut dan lain-lain makanan asas dengan melayari laman web asnafcare.com.my.

“Kita sasarkan sumbangan sebanyak RM10 juta bagi membolehkan kita menempuh fasa kedua PKP,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 3:49 PM