Fadzil Awang (kiri berdiri) memimpin bacaan doa selepas Tengku Sarafudin Badlishah selesai menunaikan zakat fitrah. Foto Noorazura Abdul Rahman
Fadzil Awang (kiri berdiri) memimpin bacaan doa selepas Tengku Sarafudin Badlishah selesai menunaikan zakat fitrah. Foto Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Pendang: Umat Islam dibenarkan untuk berbuka puasa sekiranya berasa terancam sehingga dikhuatiri menyebabkan kehilangan nyawa.

Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang berkata, jika mereka masih mampu menghalang atau mengelak diri daripada diancam bunuh, maka ibadat puasa perlu diteruskan.

"Sekiranya kita diugut oleh orang bukan Islam supaya jangan berpuasa, yang pertama apa hak mereka untuk menghalang kita melaksanakan kewajipan agama apatah lagi puasa itu salah satu rukun Islam.

"Yang keduanya, dari segi ugut atau dalam fekah disebut ikrah (paksaan) seperti kita dipaksa jangan berpuasa, sekiranya kita dipaksa sehingga akan menyebabkan kehilangan nyawa maka dibolehkan berbuka.

"Namun, sekiranya masih mampu melawan dan boleh melarikan diri maka kita tidak boleh meninggalkan ibadat puasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejadian dua pengawal keselamatan mendakwa ditampar, dipukul dan diacukan pistol oleh majikan mereka hanya kerana berpuasa.

Dalam kejadian 10 malam kelmarin, kedua-dua mangsa mendakwa dimarahi apabila memberitahu mereka berpuasa ketika berada di lobi Residensi One KL, Jalan Pinang, Kuala Lumpur.

Kedua-dua mangsa kemudian mengikut suspek ke rumahnya di Batu Nilam, Klang, Selangor, sebelum dipukul dengan sebatang rotan serta diacu pistol.

Fadzil berkata, sebagai orang Islam, kejadian itu harus dijadikan ikhtibar dan pedoman, selain melihat rahmat di sebaliknya.

Terdahulu, Fadzil mengiringi Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin yang berangkat menunaikan solat Jumaat serta menunaikan zakat fitrah kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di Masjid An Nur, Tanjung Setol, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 April 2021 @ 4:43 PM