Ramadan cukup dinantikan oleh umat Islam namun ada segelintir yang menjadikan Ramadan ini sebagai 'bulan ingkar.' Bukan saja tidak berpuasa, malah melakukan perkara maksiat lain. Bukan itu saja, ramai juga yang tidak dapat menggantikan puasa yang ditinggalkan dengan sengaja. Ramadan bulan penuh keberkatan namun ada yang seolah-olah 'bermusuh' dengan bulan ini.

Ikuti wawancara Pensyarah Kanan Pusat Kajian Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), DR MAT NOOR MAT ZAIN bersama Pengarang Berita NAZARALI SAERIL bagi mengupas isu semasa Ramadan ini.

Rukun Islam ketiga iaitu berpuasa di bulan Ramadan serta sebab berpuasa.

Puasa adalah kefarduan bukan sahaja kepada umat Nabi Muhamad SAW, malah umat terdahulu seperti yang dinyatakan dalam ayat pensyariatan puasa, iaitu Firman Allah SWT (al-Baqarah 183):

"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa."

Oleh itu, ia juga menjadi syi'ar Islam selain daripada solat.

Berkaitan sebab berpuasa, ia adalah ketetapan daripada Allah SWT berdasarkan ayat di atas, maka ia menjadi tanggungjawab dan kewajipan setiap hamba.

Tambahan pula, ia berobjektif tinggi iaitu terkandung dalam hikmah, kelebihannya juga yang banyak.

Puasa namun tidak solat.

Dalam Islam, ada rukun lima yang membentuk keperibadian seseorang Muslim.

Dengan kata lain, kesempurnaan seseorang individu yang menganut agama Islam akan sempurna jika melakukan semua di atas dengan syarat-syarat yang ditetapkan.

Ibnu 'Umar R.A, bahawa Nabi SAW bersabda: "Terbinanya Islam itu atas lima perkara; Syahadah bahawasanya tiada tuhan (yang sebenarnya disembah) melainkan Allah dan Muhammad itu adalah pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji dan puasa di bulan Ramadan." [HR al-Bukhari (8) dan Muslim (16)].

Puasa yang dilakukan tetap sah kerana beliau masih lagi tidak terkeluar daripada seorang Muslim kecuali beliau menafikan bahawa solat itu tidak wajib.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan segala urusan yang kecil mahupun yang besar adalah tertulis." (Surah al-Qamar, ayat 53)

Daripada segi pahala terhadap puasa yang dikerjakan, maka jumhur ulama mengatakan beliau tidak mendapat pahala.

Sebaliknya dia berdosa kerana tidak melakukan solat itu. Dengan kata lain, puasa mereka sah, tetapi tidak diberi pahala.

Inilah pendapat kebanyakan ulama Azhar seperti 'Atiyyah Saqar, Dr Ahmad Syarbashi, Dr Muhemmed al-Bakri Ismail dan lain-lain.

Hal ini kerana, Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya (Bukhari dan Muslim): "Siapa yang meninggalkan ucapan yang keji dan beramal dengannya, maka tiada keperluan bagi Allah dengan sebab dia meninggalkan makan dan minumnya."

Tidak dinafikan ramai yang suka berpuasa kerana inginkan kelebihan dan faedah daripadanya.

Namun, jika berpuasa tetapi tidak menunaikan solat, adakah sempurna keimanan?

Sudah tentu tidak, tetapi beliau masih dianggap seorang Islam, tetapi pendosa.

Tambahan pula, solat itu adalah tiang agama. Dalam satu hadis yang mafhumnya, perbezaan antara seseorang kafir dengan Muslim adalah solatnya.

Tiada rasa berdosa jika tidak berpuasa. Adakah ini antara sebab ramai yang sanggup ponteng puasa?

Ia fenomena yang melanda ketika ini. Ada yang mengatakan tidak mengapa kerana masih muda atau belum sampai 'seru.'

Ada juga yang menganggap walaupun tidak berpuasa dan tidak menunaikan solat, mereka tetap individu baik kerana tidak mengganggu atau menyusahkan individu lain.

Ramai dalam kalangan remaja terbabit dalam hal ini dan ramai juga yang melakukannya semata-mata mahu menunjukkan seolah-olah hebat.

Ia berlaku kerana berkemungkinan, pengetahuan agama agak kurang atau memiliki sifat suka menunjuk-nunjuk untuk mencari perhatian.

Kemungkinan juga berpunca daripada keadaan sekeliling seperti rakan mengajak untuk sama-sama tidak berpuasa.

Sedangkan, semua tindak tanduk yang kita lakukan diketahui Allah SWT dan pasti dibalas, tidak akan terlepas walau sedikit.

Firman-Nya yang bermaksud: "Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, nescaya dia akan melihat pembalasannya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah pun, nescaya dia akan menerima balasannya pula." (Surah al-Zalzalah, ayat 7-8).

Sudah terlalu lama tidak berpuasa namun enggan menggantikan puasa sebaliknya hanya mahu membayar fidyah.

Peraturan dan hukum asas puasa berbentuk fardu ain.

Tidak terlepas walaupun berlalu tempoh masa kecuali terdapat keuzuran yang diiktiraf syarak.

Islam menuntut supaya sesiapa yang meninggalkan solat atau puasa untuk terus qada' bagi membebaskan diri daripada tanggungan bebanan taklif.

Ini kerana, puasa adalah suatu taklif dan tanggungjawab kepada Allah SWT.

Ia tidak terlepas kecuali menunaikannya. Bila tidak dilaksanakan kerana sebab tertentu atau tanpa sebab, maka perlu terus diqada'.

Jika terlepas tahun, maka perlu membayar fidyah dan tanggungjawab untuk qada' masih kekal.

Jika berterusan tidak melakukannya, maka seseorang itu tidak akan terlepas sampai bila-bila.

Oleh itu, kita semua perlu sedar dengan kedudukan itu.

Antara keadaan yang dikenakan fidyah adalah tidak berpuasa kerana tua yang uzur, sakit kronik yang tidak memungkinkan puasa, mengandung dan menyusukan anak dan melewatkan qada puasa sehingga masuk tahun lain.

Jadi, mereka yang tidak berpuasa dalam keadaan mampu maka termasuk dalam kategori terakhir.

Mereka perlu membayar fidyah dan pada masa sama, masih wajib qada' kerana mampu.

Ramai ambil kesempatan guna alasan tertentu untuk tidak berpuasa sedangkan alasan terbabit ada yang tidak diterima syarak.

Mutakhir ini, ramai yang menggunakan pelbagai alasan dan helah untuk tidak berpuasa.

Mereka menggunakan alasan yang pada zahirnya merupakan antara sebab untuk membolehkan seseorang tidak berpuasa.

Sedangkan, mereka tidak sampai kepada tahap yang membenarkan untuk tidak berbuka.

Antara alasan yang sering digunakan untuk tidak berpuasa adalah:

Gastrik: Menurut pakar-pakar perubatan dan dietetik, gastrik yang dialami oleh sesetengah orang tidak seharusnya dijadikan alasan untuk tidak berpuasa.

Ini kerana bagi mereka yang telah lama mengalaminya, mereka boleh membuat persiapan awal dan merancang dengan cara tertentu dengan membaca dan mendapat maklumat daripada pakar seperti cara pemakan serta pengambilan ubat tertentu yang membolehkan mereka berpuasa.

Tidak dinafikan, jika telah membuat persediaan seperti makan pada masa yang betul dan mengambil ubat, tetapi tiba-tiba diserang gastrik, maka beliau boleh berbuka puasa.

Bukannya tidak berpuasa daripada awal.

Tidak bangun sahur: Ada yang liat bangun sahur dan menjadikannya sebagai alasan untuk tidak berpuasa.

Ia termasuk dalam kecuaian individu tersebut. Banyak kes yang dilaporkan sedemikian apabila ditangkap tidak berpuasa.

Puasa yang hanya datang setahun sekali sepatutnya dirancang dengan rapi seperti tidur awal selain mendapatkan menu sahur yang sihat.

Pakar-pakar juga telah menyarankan makanan tertentu untuk diambil agar menjadi kuat dan mampu berpuasa.

Bermuasfir tetapi tidak memenuhi syarat: Tidak dinafikan, bermusafir adalah salah satu rukhsah yang dibenarkan untuk berbuka tetapi hendaklah memenuhi syarat-syaratnya seperti musafir untuk tujuan baik, musafir yang membolehkan jamak atau qasar solat.

Tetapi jika tidak cukup syarat tersebut, maka belum membolehkan seseorang untuk berbuka.

Begitu juga mengikut kebanyakan ulama, mereka tidak membolehkan orang kerjanya sentiasa bermusafir untuk berbuka seperti pemandu lori.

Ini kerana, kerja tersebut telah sebati dengan mereka dan sepatutnya mereka mampu menghadapinya.

Manfaat berpuasa selain bagaimana mahu mendidik generasi muda untuk mengamalkan Rukun Islam ketiga ini.

Ganjarannya cukup banyak, antaranya ialah pahala yang berlipat kali ganda.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2022 @ 7:45 AM