Mohd Amin Jalil


Seremban: Kerajaan mungkin perlu mengkaji semula beberapa kelonggaran diberikan kepada orang ramai termasuk aktiviti di bazar Ramadan berikutan laporan terdapat 17 kes positif Covid-19 varian South African B.1.351 dikesan di negara ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, varian virus terbabit dikatakan lebih mudah tersebar dan mempunyai kadar kebolehjangkitan lebih tinggi.

Beliau berkata, situasi itu boleh mewujudkan risiko berlakunya gelombang keempat kes positif Covid-19 di negara ini.

"Agak membimbangkan beberapa vaksin yang ada tidak efektif untuk melawan varian terbabit, sekali gus memberi kesan kepada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang sedang dilaksanakan.

"Ini pandangan saya, tapi kita patut mengkaji semula beberapa kelonggaran diberikan kerana apabila varian ini tersebar, beberapa vaksin tidak efektif melawannya dan kadar penularan akan meningkat.

"Gelombang keempat mungkin akan lebih teruk. Kita tengok minggu lalu kita hampir berjaya menurunkan gelombang ketiga, namun beberapa hari lalu ia meningkat semula, saya bimbang ini akan beri kesan kepada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 17 kes positif Covid-19 jangkitan tempatan dikenal pasti dijangkiti dengan varian South African B.1.351.

Varian terbabit dikatakan ditemui pada dua kakitangan syarikat berpangkalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hasil saringan kontak rapat.

Khairy yang juga Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu meneliti semula terhadap kelonggaran diberikan kepada orang ramai termasuk berkaitan bazar Ramadan.

687,176 individu menerima suntikan dos pertama. FOTO NSTP
687,176 individu menerima suntikan dos pertama. FOTO NSTP

"Kita tidak boleh hendak salahkan orang ramai kerana mereka memang nak pergi bazar Ramadan, tapi yang jelas memang sukar untuk kekalkan penjarakan fizikal, walaupun terdapat penguatkuasaan dilakukan.

"Mereka akan berada dalam keadaan berdekatan dengan orang lain, saya rasa kita perlu melihat perkara ini dengan serius," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 April 2021 @ 2:27 PM