AMIRUDIN (baju putih) yang mengambil peluang meninjau bazar dan membeli juadah berbuka di Bazar Ramadan Kompleks PKNS.  FOTO Ihsan Menteri Besar.
AMIRUDIN (baju putih) yang mengambil peluang meninjau bazar dan membeli juadah berbuka di Bazar Ramadan Kompleks PKNS. FOTO Ihsan Menteri Besar.
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam kalangan pengunjung dan peniaga di Bazar Ramadan Kompleks PKNS amat memuaskan.

Demikian kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari yang mengambil peluang meninjau bazar itu sambil membeli juadah berbuka petang semalam.

"Meninjau Bazar Ramadan di Kompleks PKNS petang ini (semalam). Alhamdulillah ternyata pengunjung dan peniaga mematuhi SOP yang digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Berkesempatan membeli beberapa juadah untuk berbuka nanti. Semoga jualan peniaga meningkat sepanjang bulan Ramadan, Insya Allah," katanya dalam satu hantaran di Facebook rasminya semalam.

Sebelum ini, Amirudin mengarahkan pihak berkuasa memantau ketat operasi bazar Ramadan bagi mencegah perebakan Covid-19 dan kewujudan kluster baharu.

Menurutnya, bilangan peniaga dikurangkan kepada 11,000 berbanding 14,000 orang pada 2019 mengikut amalan norma baharu.

Kerajaan membenarkan operasi bazar Ramadan dan Aidilfitri di seluruh negara tahun ini selepas mendapat pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Menerusi Facebook rasminya juga, Amirudin yang menunaikan solat Isyak dan solat sunat tarawih di Masjid As Shariff, Gombak turut berpuas hati dengan SOP yang dipatuhi jemaah itu.

"Saya gembira melihat jemaah dan pengurusan masjid mematuhi SOP yang digariskan bagi pelaksanaan ibadah sewaktu Ramadan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 11:22 AM