MUHYIDDIN ketika tinjauan ke Bazar Ramadan Presint 3. FOTO Bernama
MUHYIDDIN ketika tinjauan ke Bazar Ramadan Presint 3. FOTO Bernama
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Putrajaya: Perdana Menteri mengingatkan rakyat agar terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) ketika membeli juadah di bazar Ramadan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keadaan Covid-19 masih belum reda dan semua perlu lebih berhati-hati menjaga keselamatan diri dan orang di sekeliling.

"Amalkan penjarakan fizikal dan cuci tangan menggunakan sanitizer (cecair pembasmi kuman) sebelum dan selepas berada di tempat yang dikunjungi ramai orang.

"Saya harap pengunjung dapat mematuhi SOP bukan hanya di bazar Ramadan di Putrajaya tetapi di bazar lain di seluruh negara," katanya menerusi Facebook, hari ini.

Muhyiddin sempat singgah membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadan di Presint 3, di sini, sambil meninjau tahap pematuhan SOP pengunjung dan peniaga.

Katanya, beliau berpuas hati dengan langkah pematuhan diambil penganjur dan peniaga yang menyediakan laluan masuk dan keluar, jumlah gerai dikurangkan bagi mewujudkan jarak bersesuaian serta menempatkan petugas bagi mengingatkan pengunjung mengenai pematuhan jarak fizikal.

"Selain membeli juadah kegemaran, sempat juga saya berbual dengan peniaga serta pengunjung dan meninjau tahap pematuhan SOP di bazar Ramadan ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 8:54 PM