HASNI (kiri) meninjau Sistem Perparitan Utama Bagi Kawalan Banjir di Lido Waterfront Boulevard, Teluk Danga, Johor Bahru. FOTO IHSAN PEJABAT MB
HASNI (kiri) meninjau Sistem Perparitan Utama Bagi Kawalan Banjir di Lido Waterfront Boulevard, Teluk Danga, Johor Bahru. FOTO IHSAN PEJABAT MB
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Projek Sistem Perparitan Utama Bagi Kawalan Banjir di Lido Waterfront Boulevard di Teluk Danga, di sini, akan menyelesaikan masalah banjir yang membelenggu penduduk kawasan tengah bandar raya, sejak sekian lama.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, projek yang menelan kos RM19 juta itu dimulakan pada Januari 2019 dan siap sepenuhnya Disember tahun lalu, dibangunkan Tropicana Corporation Berhad.

"Projek ini diyakini mampu mengatasi masalah banjir di hulu Sungai Abdul Samad dan Sungai Chat yang sering menjejaskan kehidupan penduduk khususnya di kawasan Kampung Mohd Amin.

"Sistem perparitan berkenaan turut dilengkapi dengan perangkap sampah diharap dapat memastikan perairan di kawasan sekitar Teluk Danga lebih bersih.

"Bagi memastikan kelancaran pengoperasian sistem perparitan utama bagi kawalan banjir itu, projek berkenaan turut dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Majlis penyerahan projek berkenaan daripada Lido Waterfront Boulevard Sdn Bhd kepada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), berlangsung baru-baru ini.

MBJB akan menjadi entiti bakal mengawal selia sistem perparitan berkenaan.

Syarikat Lido Waterfront Boulevard diwakili Ahli Lembaga Pengarahnya, Datuk Ismail Karim, manakala MBJB diwakili Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Adib Azhari Daud.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 10:32 AM