Ibrahim Isa


AKTIVITI penambakan dekat perairan Pantai Lido dipercayai penyebab gangguan sistem pengaliran hingga ratusan ikan mati, hari ini dan pada 28 Ogos lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor Bahru, Tan Chen Choon berkata, bangkai ikan ditemui mati oleh orang awam di tali air bersebelahan Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, kira-kira 11 pagi hari ini.

Katanya, sebelum itu, keadaan sama juga berlaku pada 28 Ogos lalu dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor dipanggil menyiasat perkara itu.

“Saya memandang serius aduan terkini yang disalurkan kepada JAS apatah lagi, ini kejadian kedua.

“Berdasarkan tinjauan JAS yang turut disertai Jabatan Perikanan Malaysia Daerah Johor Bahru di lokasi, kami dapati paras oksigen terlarut di kawasan itu terlalu rendah, sekitar 1.2 ppm yang boleh menyebabkan kematian ikan,” katanya hari ini.

Berikutan itu, katanya, kesimpulan awal dibuat bahawa kematian ikan ada kaitan dengan gangguan sistem pengaliran yang berkemungkinan berpunca daripada aktiviti penambakan di perairan berkenaan.

Katanya, tiada dapatan susulan yang boleh mengaitkan kejadian itu dengan pencemaran daripada sumber industri.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan JAS menyemak semula Laporan Penilaian Impak Persekitaran (EIA) bagi projek penambakan kawasan Pantai Lido bagi mendapatkan maklumat lanjut dan mencari jalan penyelesaian yang mengelak insiden berlanjutan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 September 2019 @ 5:55 PM