RAKAMAN video menunjukkan sebuah kereta enggan berhenti ketika melalui SJR di Plaza Tol Kajang. FOTO tular
RAKAMAN video menunjukkan sebuah kereta enggan berhenti ketika melalui SJR di Plaza Tol Kajang. FOTO tular
Nurul Hidayah Bahaudin


Kajang: Polis sedang mengesan pemandu sebuah kereta yang melarikan diri ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Kajang, di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Superintendan Mohd Sabri Abdullah berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang.

"Kejadian itu berlaku ketika anggota bertugas di SJR dimaklumkan oleh orang awam bahawa sebuah kereta enggan melalui sekatan dan cuba berpatah balik.

"Dalam kesesakan lalu-lintas, anggota polis bertugas pergi ke arah kereta terbabit dan mengarahkan pemandunya memberhentikan kenderaan.

"Namun, suspek enggan berhenti dan melarikan diri. Anggota polis terbabit cuba mengejar suspek tetapi dia dapat melarikan diri," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Sabri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu kenderaan secara melulu serta merbahaya.

"Selain itu, kes berkenaan juga disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas apabila enggan memberikan kerjasama semasa pemeriksaan dilakukan.

"Kami mohon saksi awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu tampil untuk membantu siasatan," katanya.

Terdahulu, video berdurasi 14 saat yang menunjukkan seorang anggota polis mengarahkan pemandu kereta berkenaan berhenti tular di media sosial, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 April 2021 @ 1:15 PM