GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Muhaamad Hafis Nawawi


Gombak: Tindakan seorang lelaki dan wanita melarikan diri daripada sekatan jalan raya (SJR) dipercayai kerana mabuk, mengundang padah apabila mereka ditahan polis, malam tadi.

Malah, mereka turut mengeluarkan kata-kata tidak sopan serta merakam video sebelum ditahan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak menahan kenderaan Toyota Wish berwarna putih dipandu suspek dalam keadaan mencurigakan pada 10.30 malam.

Menurutnya, anggota polis yang menjalankan tugas Op Bersepadu Cegah Jenayah/Op Mabuk di Batu 15, Jalan Kuala Lumpur–Ipoh itu kemudian mengarahkan mereka berhenti di bahu jalan untuk pemeriksaan.

"Namun, ketika anggota polis menghampiri kenderaan terbabit, suspek terus memecut laju dan merempuh SJR, malah hampir melanggar dua anggota polis.

"Anggota polis kemudian mengejar mereka sejauh lebih kurang satu kilometer sebelum berjaya menahannya dan ketika proses tangkapan dijalankan, kedua-dua suspek enggan memberi kerjasama.

"Malah mereka merakam video dan mengeluarkan kata-kata tidak sopan ke atas anggota polis yang bertugas," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Arifai berkata, ujian pernafasan ke atas suspek yang memandu kenderaan itu mendapati dia di bawah pengaruh alkohol.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Kedua dua suspek ditahan reman selama tiga mulai hari ini untuk siasatan lanjut.

"Siasatan awal mendapati, suspek melarikan diri kerana di bawah pengaruh alkohol," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2021 @ 11:59 PM