GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Tindakan melarikan diri dari sekatan jalan raya (SJR) boleh mengundang risiko kemalangan yang bukan sahaja membahayakan nyawa sendiri, malah pengguna jalan raya lain serta anggota pasukan penguatkuasaan.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mat Kasim Karim berkata, masih ramai orang yang mengambil mudah mengenai isu ini dan terus bertindak melarikan diri dari SJR.

"Pemeriksaan dilakukan ketika SJR adalah untuk mengesan kesalahan dilakukan dan mengeluarkan saman. Rutin itu bukanlah merujuk kepada kes jenayah dan tidak ada keperluan untuk melarikan diri dari sekatan kecuali terbabit dengan kes jenayah yang lebih besar.

"Kes saman trafik melalui SJR adalah dengan mengeluarkan saman yang boleh diberikan tawaran kompaun untuk dibayar atau hadir ke mahkamah untuk mempertahankan hak serta kesalahan yang dikesan.

"Kita khuatir apabila melarikan diri dari SJR, mereka akan menempah risiko lebih besar termasuk dilanggar kenderaan lain atau merempuh anggota kita yang bertugas.

"Ini adalah satu kesalahan yang serius kerana ia memberikan impak kepada pengguna jalan raya lain serta anggota penguat kuasa bertugas selain diri sendiri," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Merujuk kemalangan membabitkan seorang anggota polis cedera akibat dirempuh motosikal ditunggang seorang lelaki ketika operasi 'snap check' di Jambatan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu, Kelantan, Isnin lalu, beliau berkata, ada operasi khas dijalankan pihaknya di peringkat Bukit Aman, kontinjen dan daerah bagi mengatasi isu samseng jalanan.

"Bagi kes seperti yang berlaku di Kelantan itu, penunggang berkenaan boleh diambil tindakan mengikut Akta Polis 1967 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam melakukan tugas selain Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Bergantung kepada situasi kes, kita juga boleh mengambil tindakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh," katanya.

Mat Kasim berkata, pihaknya mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang dipatuhi pada setiap SJR dilakukan seperti meletakkan kon dan papan tanda selain menggunakan wisel bagi menarik perhatian pengguna jalan raya supaya berhenti pada tempat ditetapkan.

Beliau berkata, pihaknya sebenarnya menyantuni penunggang motosikal dan bukannya mahu mengambil tindakan semata-mata tetapi untuk membendung peningkatan kemalangan membabitkan motosikal.

"Ini kerana 67 peratus kemalangan maut disumbang oleh kumpulan motosikal dan sekiranya masalah itu dapat dibendung, ia dapat mengurangkan kadar kemalangan maut secara keseluruhan di negara ini.

"Disebabkan itu, JSPT prihatin dengan isu kemalangan membabitkan penunggang motosikal dan kami sentiasa menjalankan operasi secara konsisten di peringkat Bukit Aman, kontinjen dan daerah bagi membendung masalah terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2022 @ 4:37 PM