Skuad Khas Harian Metro

Kuala Lumpur: Dianggotai tidak kurang 500 ahli menjadikan kumpulan kongsi gelap Geng Lanun Merah Black Maria 360 antara kumpulan penjenayah terancang menguasai pelbagai kegiatan jenayah di kawasan Klang, Selangor.

Kumpulan yang aktif sejak 2013 ini dikatakan turut didalangi seorang pegawai kanan polis wanita.

Sumber memberitahu Skuad Khas Harian Metro bahawa kumpulan diketuai seorang lelaki tempatan dikenali sebagai Mr A berusia 46 tahun itu aktif menyeludup rokok, pendatang asing tanpa izin (Pati), ketum, dadah dan menjual kereta klon di kawasan Pandamaran, Klang.

Katanya, Mr A dibantu Mr T yang berpangkat 'Ayahanda' dalam kumpulan kongsi gelap berkenaan.

"Boleh cakap hierarki Geng Lanun Black Maria 360 ini diketuai Mr A manakala Mr T timbalannya," katanya.

Menurutnya, Mr A dan Mr T ada tiga orang kanan iaitu Ms S, Mr B dan Mr M.

"Ms S pegawai kanan polis manakala Mr B berusia 50-an dan Mr M berusia 37 tahun adalah individu yang menggerakkan aktiviti haram didalangi kumpulan ini.

"Mr M pula penjawat awam dan bertugas sebagai anggota berpakaian seragam," katanya.

Mendedahkan lanjut, sumber berkenaan berkata, kumpulan kongsi gelap itu terbabit dalam kegiatan penyeludupan Pati, rokok, pembuangan sampah atau bahan kimia berjadual di sekitar Klang serta penghantaran dadah ke Indonesia.

"Ini perniagaan utama kumpulan ini. Mereka juga jadi ceti haram dan jual air ketum," katanya.

Menurutnya, bagi kes penyeludupan Pati, kumpulan ini berperanan sebagai tekong darat dan laut yang mana aktif menyeludup masuk atau keluar pendatang asing tiga hingga empat kali seminggu.

"Mereka mengenakan bayaran RM400 hingga RM1,400 kepada setiap Pati.

"Pati yang selamat mendarat diambil di tepi sungai oleh sampan untuk dibawa ke bot tongkang. Kegiatan ini berlaku di kawasan lorong tikus sekitar sungai di Pulau Indah atau pesisir pantai pulau berkenaan.

"Pati yang berjaya sampai di kawasan itu akan dibawa menaiki lori untuk dihantar ke lokasi tertentu ataupun kawasan penampungan (tempat simpan)," katanya.

GENG Lanun Merah Black Maria 360 berperanan sebagai tekong darat dan laut yang mana aktif menyeludup masuk atau keluar pendatang asing tiga hingga empat kali seminggu.
GENG Lanun Merah Black Maria 360 berperanan sebagai tekong darat dan laut yang mana aktif menyeludup masuk atau keluar pendatang asing tiga hingga empat kali seminggu.

Bagi kes pembuangan sampah dan sisa toksik pula, sumber itu berkata, kumpulan terbabit menjadikan lot tanah di kawasan Pendamar, Klang sebagai lokasi pembuangan.

"Setiap hari, lebih kurang lima lori tiga tan membuang sampah di kawasan itu. Sebulan sekali, treler membawa muatan 60 tan bahan kimia dan toksik ditanam di timbunan sampah di kawasan itu.

"Kumpulan ini mengenakan bayaran antara RM5,000 hingga RM20,000 untuk pembuangan bahan kimia manakala RM150 hingga RM250 bagi sampah biasa setiap hari," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, sumber itu memberitahu kumpulan sama terbabit dalam kegiatan penyeludupan dadah dan menjual pelbagai jenis kenderaan yang dicuri atau diklon.

"Kereta curi akan dijual kepada warga asing dan penduduk tempatan pada harga murah.

"Kumpulan ini juga dikesan menjadi ejen menghantar syabu ke Indonesia," katanya sambil memberitahu penyeludupan dadah dilakukan mereka di lorong tikus dan tepi pantai di kawasan Sungai Indah dan Telok Gong, Klang.

Sumber itu berkata, beberapa pimpinan dan orang kanan kumpulan itu dilaporkan memiliki senjata api.

"Kumpulan ini sangat berbahaya dan perlu dibanteras sepenuhnya," katanya.

Menurutnya, selain menjadikan warga tempatan sebagai ahli, mereka juga merekrut warga asing terutama Indonesia sebagai anggota untuk memudahkan urusan penyeludupan Pati mahupun rokok serta dadah.

Dev Kumar
Dev Kumar

JSJ bakal tubuh pasukan khas

Kuala Lumpur: Polis menerusi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) akan menubuhkan pasukan khas bagi melakukan siasatan semula berhubung dakwaan kewujudan kumpulan Geng Lanun Merah Black Maria 360 didakwa mengendalikan aktiviti buang sampah, sisa toksik, pengedaran dadah dan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (Pati) di sekitar Klang, Selangor.

Timbalan Pengarah JSJ Risikan/Operasi Bukit Aman Datuk Dev Kumar berkata, pihaknya pernah menerima maklumat kegiatan kumpulan itu pada 2019 sebelum siasatan dilakukan JSJ Bukit Aman bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

"Antara dakwaan diterima adalah kumpulan ini dikatakan turut didalangi seorang pegawai kanan polis terbabit dengan kegiatan penyeludupan Pati, pemilikan senjata api, dadah serta ceti haram.

"Namun hasil siasatan dilakukan pada 2019 mendapati dakwaan terbabit tidak berasas sebelum kes ditutup.

"Namun baru-baru ini, kami menerima maklumat berhubung dakwaan sama mengenai kegiatan kumpulan itu yang turut dikatakan membabitkan seorang pegawai polis dan kami tidak memandang ringan perkara ini.

"Disebabkan itu, kami menubuhkan pasukan khas bagi melakukan siasatan semula berhubung dakwaan berkenaan termasuk melakukan temu bual terhadap penduduk kampung di kawasan berkenaan bagi membantu siasatan," katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Dev berkata, pihaknya tidak pasti punca dakwaan mengenai kumpulan berkenaan muncul semula selepas dua tahun perkara itu sudah diambil tindakan melalui siasatan dilakukan sebelum ini.

"Kita tidak menafikan ada kelong haram di kawasan berkenaan dan kita sudah maklumkan kepada Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan polis akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit berhubung isu itu.

"Tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terbabit dengan kegiatan haram di kawasan berkenaan bukan saja yang membabitkan kumpulan berkenaan secara khusus tetapi mana-mana kumpulan lain," katanya.

Beliau berkata, aktiviti kongsi gelap di negara ini tidak begitu membimbangkan seperti yang diuar-uarkan.

"Memang ada berlaku satu dua kes berkaitan kumpulan kongsi gelap, namun sudah banyak geng berkenaan diambil tindakan.

"Namun mungkin orang ramai bimbang berhubung perkara ini apabila ia dilaporkan media.

"Tindakan membanteras aktiviti kongsi gelap di negara ini akan dilakukan berterusan dengan mengambil tindakan mengikut Kanun Keseksaan atau Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 April 2021 @ 12:00 PM