HAZANI (kiri) dan Hairul Azreen. FOTO Zunnur Al Shafiq
HAZANI (kiri) dan Hairul Azreen. FOTO Zunnur Al Shafiq
Norasikin Daineh

SURAT sudah dihantar kepada pelakon filem PASKAL, Hairul Azreen bagi mendapatkan keterangan kepada Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) berhubung kenyataannya hampir menjadi mangsa culik lanun ketika penggambaran filem itu di kawasan Semporna.

Komander ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali berkata, pihaknya belum dapat keterangan daripada pelakon itu kerana mungkin sedang sibuk mempromosikan filem itu.

"Kita tunggu reply (jawapan) daripada dia (Hairul). Kita sudah hantar surat untuk rakamkan 'statement' daripada dia... belum lagi (ambil keterangan), dia pun tengah sibuk promosi filem dia," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Hazani berkata, surat itu dihantar sejak dua minggu lalu dan akan ada pegawainya yang akan mengambil keterangan daripada pelakon itu nanti.

"Surat sudah dihantar dua minggu lalu," katanya.

Sebelum ini, Hairul mendakwa, dia dan seorang lagi pelakon, Ammar Alfian nyaris menjadi sasaran lanun ketika penggambaran filem PASKAL di Semporna, pertengahan tahun ini.

Dakwanya lagi, ketika kejadian, hanya dia dan Ammar yang masih berada di kawasan pelantar minyak selepas menyelesaikan beberapa babak sebelum ada rakan membisikkan pihak berkuasa sebenarnya sudah mendapat maklumat bahawa kumpulan lanun itu mahu menjadikan mereka sasaran penculikan.

Akibat dakwaan pelakon itu, ESSCOM sebelum ini sudahpun menyifatkan kenyataan pelakon itu adalah sebagai tidak berasas kerana sepanjang penggambaran filem itu di kawasan yang dirujuk sebagai pelantar Tun Sharifah Roziah (TSR), pelakon serta kru disertai oleh pasukan keselamatan terlatih, Pasukan Khas Laut (PASKAL).

Hazani dalam kenyataan terdahulunya berkata, dakwaan pelakon ini akan mengundang persepsi negatif orang awam terhadap tahap keselamatan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 September 2018 @ 12:11 PM