GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Skuad Khas Harian Metro

Kuala Lumpur: Orang kanan kumpulan kongsi gelap Geng Lanun Merah Black Maria 360 yang bergelar 'Ayahanda' didapati memiliki dua pistol bagi menjaga keselamatan mereka.

Sumber memberitahu Skuad Khas Harian Metro bahawa senjata api berkenaan turut digunakan untuk mengugut dan menakut-nakutkan individu yang mengganggu kegiatan mereka.

"Dari mana mereka dapat senjata api tidak pasti namun ia akan dibawa apabila kumpulan ini melakukan aktivit terancang.

"Senjata api juga disimpan di sebuah premis milik orang kanan dalam kumpulan kongsi gelap berkenaan," katanya.

Menurut sumber itu lagi, satu lagi pistol dipercayai disimpan di kelong yang dibina kumpulan terbabit.

"Namun maklumat berhubung pemilik sebenar senjata api itu masih belum diketahui.

"Selain menggunakan senjata api, kumpulan ini juga mengugut mangsa dengan membaling cat merah sekiranya aktiviti mereka diganggu," katanya.

Semalam, Metro Ahad menerusi laporan eksklusifnya mendedahkan kumpulan kongsi gelap Geng Lanun Merah Black Maria 360 antara kumpulan penjenayah terancang menguasai pelbagai kegiatan jenayah di kawasan Klang, Selangor.

Kumpulan yang aktif sejak 2013 ini diketuai seorang lelaki tempatan dikenali sebagai Mr A berusia 46 tahun dan giat menyeludup rokok, pendatang asing tanpa izin, ketum, dadah dan menjual kereta klon di kawasan Pandamaran, Klang.

Kumpulan berkenaan juga didapati terbabit dengan aktiviti pembuangan sampah dan sisa toksik serta menjadikan lot tanah di kawasan Pendamar, Klang sebagai lokasi pembuangan.

Susulan itu, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman akan menubuhkan pasukan khas bagi melakukan siasatan semula berhubung dakwaan kewujudan kumpulan Geng Lanun Merah Black Maria 360.

Timbalan Pengarah JSJ Risikan/Operasi Bukit Aman Datuk Dev Kumar ketika ditemu bual kelmarin dilaporkan berkata, pihaknya pernah menerima maklumat kegiatan kumpulan itu pada 2019 sebelum siasatan dilakukan JSJ Bukit Aman bersama Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan.

Katanya, hasil siasatan mendapati dakwaan terbabit tidak berasas sebelum kes itu ditutup.

"Bagaimanapun baru-baru ini, kami menerima maklumat berhubung dakwaan sama membabitkan kumpulan itu yang turut dikatakan membabitkan seorang pegawai polis dan kami tidak memandang ringan perkara ini.

"Disebabkan itu, kami tubuhkan pasukan khas bagi melakukan siasatan semula berhubung dakwaan berkenaan termasuk menemuduga penduduk kampung di kawasan terbabit bagi membantu siasatan," katanya.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Ketua, orang kanan hidup mewah hasil duit haram

Kuala Lumpur: Hasil kegiatan haram dilakukan kumpulan kongsi gelap Geng Lanun Merah Black Maria 360 yang terbabit dalam pelbagai kegiatan jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan rokok, dadah, ceti haram, pembuangan sampah dan sisa toksik membolehkan mereka memiliki aset bernilai jutaan ringgit.

Sumber memberitahu Skuad Khas Harian Metro bahawa sejak lapan tahun aktif dalam kegiatan haram itu, ketua kumpulan dan orang kanannya hidup serba mewah.

"Mereka ada kenderaan mewah, bot laju, tujuh bot besar, bot tongkang dan lain-lain dianggarkan bernilai lebih RM1 juta. Itu tidak termasuk aset lain seperti rumah dan hartanah yang dipercayai dibeli hasil wang haram itu," katanya.

Menurut sumber itu, sindiket terbabit memperoleh laba yang besar daripada pelbagai kegiatan haram dikendalikan mereka.

"Kalau seludup pendatang asing tanpa izin (Pati), mereka caj RM400 hingga RM1,400 setiap kepala (orang). Mereka aktif seludup masuk Pati tiga hingga empat kali seminggu. Jutaan ringgit kumpulan ini kaut hasil seludup orang sahaja.

"Itu tidak termasuk caj RM5,000 hingga RM20,000 untuk melupuskan sisa toksik di lot tanah dimiliki mereka di Pendamar, Klang. Setiap tahun ini sahaja sudah jutaan ringgit mereka jana. Sampah sahaja sekurang-kurangnya lima lori tiga tan setiap hari," katanya.

Sumber itu berkata, kumpulan kongsi gelap ini juga terbabit dalam kegiatan ceti haram.

"Mereka mengenakan caj atau bunga hingga 50 peratus kepada peminjam. Jika gagal bayar, peminjam diugut dan dipukul ahli kumpulan terbabit.

"Setakat ini, kita percaya sekurang-kurangnya 100 individu meminjam daripada mereka. Peminjam terdiri daripada orang kampung, pekerja swasta dan anggota tentera laut.

"Pinjaman membabitkan anggota tentera dikendalikan orang kanan kumpulan, Mr M yang juga anggota pasukan keselamatan itu," katanya.

Menurutnya, mereka juga dilaporkan memegang kad ATM milik peminjam yang gagal melunaskan hutang.

Ditanya mengenai upah diterima sindiket sebagai ejen penghantaran dadah ke Indonesia, sumber itu bagaimanapun hanya memberitahu bayaran terbabit adalah lumayan.

"Bayaran lumayan kerana risiko mereka tanggung juga tinggi," katanya tanpa menjelaskan lanjut bayaran sebenar diperoleh kumpulan itu hasil aktiviti berkenaan.

LAPORAN Metro Ahad, semalam.
LAPORAN Metro Ahad, semalam.

Terima ancaman susulan aduan dibuat

Klang: Sering menerima ugutan dan panggilan misteri hanya kerana membuat aduan berhubung sisa toksik dan plastik.

Itu yang menimpa Persatuan Tindakan Alam Sekitar Klang yang kini dalam ketakutan kerana diganggu kumpulan kongsi gelap sejak 2018.

Mendedahkan perkara itu, pengerusinya yang hanya mahu dikenali sebagai Chiam berkata, ia susulan aduan dibuat pihaknya berhubung pembuangan sampah dan sisa toksik di Kampung Pandamar dan Telok Gong, dekat sini.

"Sejak 2018 saya terima ugutan dan panggilan misteri. Mereka kata saya perlu hati-hati dalam membuat sebarang tindakan.

"Sudah dua kali saya buat laporan polis berhubung tekanan diberi kumpulan kongsi gelap yang melakukan kegiatan haram di kawasan itu," katanya kepada Harian Metro, semalam.

Chiam berkata, selain sisa toksik, kawasan berkenaan terjejas akibat pencemaran di sungai kecil dan longkang susulan penebangan kayu bakau di pesisir sungai.

"Sungai kecil kini bertukar wajah menjadi pelbagai warna apabila sisa toksik mula masuk ke bahagian sungai dan longkang.

"Namun apabila kita buat aduan, kumpulan kongsi gelap ini mengugut kita dan mengancam akan melakukan sesuatu," katanya.

Menurutnya, persatuannya kini banyak mendiamkan diri kerana risaukan keselamatan diri ahli.

"Aktiviti mereka (kongsi gelap) juga kini berkurangan kerana difahamkan kumpulan ini ada yang berpindah ke Ijok, Rasau dan Kuala Selangor.

"Saya tidak tahu apa kaitan kongsi gelap dengan aduan yang dibuat oleh persatuan kami, mungkin mereka melindungi atau sebaliknya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 April 2021 @ 12:00 PM