Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Siasatan berhubung dakwaan kewujudan kumpulan Geng Lanun Merah Black Maria 360 yang dikatakan mengendalikan aktiviti buang sampah, sisa toksid, edar dadah dan seludup pendatang asing tanpa izin (Pati) di Pendamaran, Klang, Selangor, masih di peringkat awal.

Timbalan Pengarah Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Dev Kumar berkata, pihaknya menerusi pasukan khas yang ditubuhkan, baru-baru ini, masih lagi mengumpul maklumat berhubung dakwaan itu.

"Setakat ini, siasatan berhubung dakwaan itu masih di peringkat awal. Justeru, bagi kami (polis) masa untuk siasat berhubung dakwaan berkenaan.

"Sebaik ada keputusan (hasil siasatan) berhubung dakwaan itu, kami akan maklumkan kepada pihak media," katanya.

DEV Kumar. FOTO Hairul Anuar Rahim
DEV Kumar. FOTO Hairul Anuar Rahim

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Kempen Kesedaran Awam Kecurian Kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM)-Majlis Pengurangan Kecurian Kenderaan Malaysia Berhad (VTREC) di sebuah pusat beli-belah, di sini, hari ini.

Terdahulu, Harian Metro mendedahkan mengenai aktiviti kumpulan kongsi gelap Geng Lanun Merah Black Maria 360 yang dikatakan dianggotai tidak kurang 500 ahli yang menguasai pelbagai kegiatan jenayah di kawasan Klang.

Kumpulan yang aktif sejak 2013 ini dikatakan turut dipercayai didalangi seorang pegawai polis wanita.

Sebelum ini, Dev dipetik berkata, pihaknya akan menubuhkan pasukan khas bagi melakukan siasatan semula berhubung dakwaan kewujudan kumpulan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 12:39 PM