Gambar tiga ahli Geng Jes yang diburu polis. FOTO IHSAN POLIS
Gambar tiga ahli Geng Jes yang diburu polis. FOTO IHSAN POLIS
Melvin Joni


Sibu: Tujuh termasuk ketua Geng Jes yang aktif dalam kegiatan samun rumah sarang burung walit, di sini, ditahan pasukan khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu, baru-baru ini.

Bagaimanapun, polis masih memburu tiga lagi ahli kumpulan ini yang masih bebas.

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, pihaknya menubuhkan pasukan khas berkenaan sejak dua minggu lalu untuk memburu ahli geng ini yang dianggap amat bahaya kerana bertindak agresif dan bersenjata.

Katanya, kumpulan ini diketuai seorang lelaki dikenali sebagai Jesmond Jackson, dengan ahli kumpulannya terdiri daripada 10 orang lelaki tempatan.

"Geng Jes aktif melakukan samun ke atas rumah sarang burung di sekitar bandar ini termasuk kawasan pedalaman dengan mensasarkan rumah yang dijaga warga Indonesia.

"Mereka juga bertindak agresif dengan mengikat mangsa menggunakan tali dan memukul mangsa," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Stanley berkata, kumpulan ini akan memakai topeng, sarung tangan dan membawa beberapa peralatan serta senjata tajam seperti parang, tombak serta kayu yang digunakan untuk menyerang mangsa sebelum memecah masuk ke dalam rumah burung walit.

Menurutnya, Geng Jes sudah terbabit sekurang-kurangnya lapan kes samun dan curi rumah sarang burung walit di sekitar bandar dan pedalaman di sini termasuk daerah berdekatan.

Katanya, sarang burung walit yang dicuri dipercayai dijual kepada pembeli yang juga kenalan mereka.

Beliau berkata, kesemua suspek yang ditangkap kini dalam tahanan reman dan siasatan masih diteruskan termasuk usaha mengesan dan menangkap tiga lagi ahli kumpulan ini yang masih bebas.

"Pihak polis memohon kerjasama daripada orang awam untuk menyalurkan maklumat mengenai suspek ini dengan menghubungi balai polis terdekat atau Inspektor Kumareswaran Murugan di talian 013-8024313," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 6:39 PM