NAJIB, gambar fail. FOTO NSTP
NAJIB, gambar fail. FOTO NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan memfailkan notis kebankrapan terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana gagal membayar cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion seperti yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada Julai tahun lalu.

Mengikut dokumen yang difailkan di mahkamah, Kerajaan melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memfailkan notis itu di Mahkamah Tinggi, di sini, pada 4 Februari lalu terhadap Najib selaku penghutang.

Berdasarkan notis berkenaan, Najib perlu membayar RM1.69 bilion dengan lima peratus kadar faedah setahun atas jumlah baki dari 22 Julai 2020 (tarikh keputusan Mahkamah Tinggi) hingga 4 Februari 2021 iaitu RM45.9 juta serta kos RM15,000 dan setakat 4 Februari 2021, jumlah itu menjadi RM1,738,804,204.16.

Pada 22 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Najib perlu membayar tunggakan cukai tambahan LHDN bagi tempoh 2011 hingga 2017 berjumlah RM1.69 bilion, selepas membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus terhadapnya.

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili Najib ketika dihubungi berkata mahkamah menetapkan 5 Mei ini untuk pengurusan kes itu.

"Datuk Seri Najib menerima salinan notis itu semalam," katanya.

Najib memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu di Mahkamah Rayuan yang menetapkan 16 Jun untuk mendengar rayuannya.

Mengikut Seksyen 103(2) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ITA), seseorang yang diperintahkan membayar hutang itu perlu menjelaskan bayaran itu kepada LHDN walaupun beliau memfailkan rayuan.

Oleh itu, LHDN menfailkan notis kebankrapan terhadap Najib kerana masih gagal membayar jumlah berkenaan sehingga kini.

Hari ini, Mahkamah Tinggi Sivil, menetapkan 11 Jun untuk mendengar permohonan Najib bagi menangguhkan perintah Mahkamah Tinggi itu.

Hakim Datuk Ahmad Bache menetapkan tarikh itu semasa pengurusan kes berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 8:58 PM