GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Samadi Ahmad

Putrajaya: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berharap kerajaan mempercepatkan pemberian vaksin untuk kanak-kanak.

Menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata beliau memandang serius perkembangan terkini peningkatan kes Covid-19 dalam kluster pendidikan membabitkan murid, guru dan kakitangan sekolah.

Menurutnya, sebagai Kementerian yang bertanggungjawab menjaga kepentingan kanak-kanak di negara ini, usaha memerangi pandemik Covid-19 harus mengambil kira keperluan golongan itu.

"KPWKM menzahirkan rasa bimbang kerana kanak-kanak adalah kumpulan yang tidak tersenarai untuk menerima vaksin dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sama ada dalam fasa pertama, kedua mahupun yang ketiga sedangkan kanak-kanak juga golongan yang berisiko mendapat jangkitan pandemik ini," katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Rina berkata, KPWKM komited dalam usaha membantu Kerajaan bagi memastikan sekurang-kurangnya 60 peratus rakyat perlu divaksinkan bagi mencapai imuniti kelompok (herd immunity) menerusi PICK.

Katanya, pihaknya akan berhubung dan bekerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) untuk memastikan kebajikan dan kesihatan kanak-kanak di negara ini terus terpelihara.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 5:35 PM