GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kebanyakan kajian dalam kalangan kanak-kanak, kadar risiko jangkitan Covid-19 yang teruk adalah rendah berbanding dengan golongan dewasa.

Pakar Epidemiologi Professor Madya Dr Mohd Rohaizat Hassan berkata, bagaimanapun golongan kanak-kanak masih mempunyai risiko yang sama untuk dijangkiti dan turut menyebarkan Covid-19.

Ini katanya, lebih-lebih lagi sebaik sektor pendidikan dan sekolah mula dibuka sepenuhnya.

"Oleh itu, keperluan kepada vaksinasi untuk golongan kanak-kanak juga perlu di berikan perhatian dan keutamaan.

"Tetapi, buat masa ini, ujian vaksin sedia ada ke atas kanak-kanak masih berjalan dan belum mendapat kelulusan.

"Pfizer contohnya mengumumkan mereka di fasa ketiga ujian ke atas kanak-kanak berusia 12 hingga 15 tahun dan Moderna juga masih menjalankan ujian keselamatan serta keberkesanan vaksin ke atas kanak-kanak berumur 12 tahun dan remaja," katanya.

Mengulas lanjut, katanya, bagi kanak-kanak berusia di bawah 12 tahun juga masih di dalam peringkat ujian dan akan mengambil masa untuk diluluskan.

Justeru, beliau yang juga Ketua Jabatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjelaskan secara realistiknya, kerajaan masih perlu menunggu hasil kajian dan kelulusan untuk penggunaan vaksin kepada kanak-kanak.

"Ujian yang dijalankan bukan sahaja membabitkan keselamatan dan keberkesanan, malah juga bagi menentukan dos yang sesuai untuk diberikan kepada kanak-kanak, berbanding dos kepada orang dewasa.

"Buat masa ini, kaedah yang paling penting bagi memutuskan rantaian dan mengurangkan risiko jangkitan dalam kalangan kanak-kanak masih kekal dengan kepatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) bagi setiap aktiviti terutamanya ketika di sekolah.

"Dengan peraturan ketat patuh penjarakan fizikal, pemakaian pelitup separuh muka dan sanitasi tangan," katanya.

Menurutnya, keperluan kepada bentuk aktiviti pembelajaran dan kokurikulum di sekolah juga contohnya, perlukan penilaian kepada manfaat berbanding risiko (risk versus benefits) di mana hanya aktiviti yang wajib dan perlu sahaja dilakukan.

Manakala, katanya, aktiviti berisiko jangkitan perlu dielakkan atau dibatalkan.

Kelmarin, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berharap kerajaan mempercepatkan pemberian vaksin untuk kanak-kanak.

Menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun dilaporkan berkata, beliau memandang serius perkembangan terkini peningkatan kes Covid-19 dalam kluster pendidikan membabitkan murid, guru dan kakitangan sekolah.

Sementara itu, pakar virologi dari Universiti Malaya (UM) Professor Dr Sazaly Abu Bakar turut bersetuju bahawa vaksinasi Covid-19 terhadap golongan kanak-kanak hanya boleh dilaksanakan jika kajian terbukti selamat.

"Sekarang belum boleh kerana tiada data khusus dari penghasil vaksin yang ianya selamat dan berkesan digunakan untuk mereka di bawah umur 16 atau 18 tahun," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 12:37 PM