Mohamed Farid Noh

Iskandar Puteri: Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menambah vaksin yang berkesan terhadap virus Covid-19 varian baharu Afrika Selatan iaitu South African B1351, yang kini sudah dikesan di Malaysia.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata, penelitian dibuat terhadap perkembangan varian baharu berkenaan dan data klinikal yang dikeluarkan, dengan mengambil kira keberkesanan vaksin.

Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata, terdapat beberapa vaksin dengan data klinikal yang menunjukkan keberkesanan terhadap varian Afrika Selatan itu.

"Varian baharu ini agak agresif dan sudah pun dikesan di Malaysia. Ini menyumbang kepada pertimbangan kita dalam pembelian vaksin yang mampu menangkis varian berkenaan.

"Ada beberapa vaksin yang dilaporkan berkesan terhadap varian Afrika Selatan sebagai contoh Pfizer, Novavax dan Johnson and Johnson," katanya padang sidang media di Bangunan Datuk Jaafar Muhammad di sini, hari ini, yang turut disertai Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad.

Beliau terdahulu mengadakan mesyuarat tertutup bersama Hasni dan ketua jabatan negeri itu.

KHAIRY Jamaluddin (kanan) bersama Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad ketika sidang media di Bangunan Datuk Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, Johor Bahru. FOTO Nur Aisyah Mazalan
KHAIRY Jamaluddin (kanan) bersama Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad ketika sidang media di Bangunan Datuk Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, Johor Bahru. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Dalam pada itu, Khairy berkata, Malaysia akan menjalankan lebih banyak penjujukan genom virus yang dikesan dalam negara sebagai langkah untuk merekodkan sebarang penemuan secara sistematik.

"Kerisauan utama saya adalah mutasi virus ini. Sekiranya berubah dan menjadi varian baharu, ia akan lebih susah untuk vaksin berkesan.

"Perkara ini kita akan terus pantau dan kena buat lebih banyak lagi analisis kepada genom virus yang dikesan di Malaysia supaya kita tahu kes di negara ini berasal dari negara mana.

"Jika virus Covid-19 terus bermutasi mungkin pandemik ini menjadi endemik. Ia (Covid-19) tidak akan tamat dan kita perlu ambil suntikan vaksin setiap tahun," katanya.

Mengenai pendaftaran penerima vaksin Covid-19, beliau memberitahu pendaftaran menerusi aplikasi MySejahtera mencapai 7.8 juta dan ia menjangkau sasaran 35 peratus peringkat nasional.

Katanya, negeri paling rendah mendaftar adalah Sabah dengan 11 peratus, diikuti Kelantan dengan 17 peratus.

"Ramai rakyat masih bersikap tunggu dan lihat. Mereka mahu tunggu dan lihat penerima vaksin awal ada kesan negatif atau tidak, sebelum mereka mendaftar," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 April 2021 @ 5:05 PM