DATUK Syed Abu Hussin Hafiz Abdul Fasal menyerahkan kotak dalam sidang media di PKPD Kampung Menteri, Kuala Sepetang FOTOShaiful Shahrin Ahmad Pauzi
DATUK Syed Abu Hussin Hafiz Abdul Fasal menyerahkan kotak dalam sidang media di PKPD Kampung Menteri, Kuala Sepetang FOTOShaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Taiping: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menjangkakan pendaratan hasil laut di Kampung Menteri, Kuala Sepetang, akan berlaku penyusutan susulan kawasan itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula Jumaat lalu.

Pengerusinya, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, berkata di Kampung Menteri terdapat seramai 1,500 penduduk dan lebih 70 peratus daripadanya adalah nelayan tradisional atau Kelas A.

Menurutnya susulan PKPD yang dikuatkuasakan pada 6 Ogos hingga 19 Ogos, pihak LKIM menjangkakan hasil laut bakal berlaku penyusutan kerana kesemuanya tidak dibenarkan keluar untuk melakukan sebarang aktiviti perikanan.

"Di kampung ini terdapat empat jeti pendaratan hasil laut iaitu Jeti Kampung Menteri A, B, C dan Baharu yang menyumbang kepada 30 peratus hasil laut di Kuala Sepetang.

"Susulan PKPD yang dikenakan kita menjangkakan pendaratan hasil laut seperti udang, ketam dan ikan pelaling, terjejas berikutan komuniti nelayan tidak dibenarkan keluar melakukan aktiviti perikanan.

"Bagaimanapun hasil pendaratan ikan di kampung ini tidaklah memberi kesan ketara kepada sumber laut negeri Perak dan negara kerana masih dapat ditampung dengan kawasan dan negeri lain," katanya ditemui selepas menyampaikan sumbangan kotak makanan MAFI Prihatin di Kampung Menteri sini, hari ini.

Menurutnya, LKIM dengan kerjasama Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gantang menyediakan kotak makanan serta ikan sejuk beku untuk setiap isi rumah di sini.

"Selain itu LKIM juga masih dalam peringkat perbincangan untuk menentukan bentuk bantuan sesuai termasuk bantuan 'one off' kepada nelayan di sini yang tidak dapat turun ke laut," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 3:39 PM