Sebanyak 4,000 helai tudung yang diseludup daripada Thailand dirampas. FOTO IHSAN PGA
Sebanyak 4,000 helai tudung yang diseludup daripada Thailand dirampas. FOTO IHSAN PGA
Siti Rohana Idris


Tumpat: Kelibat sebuah kereta yang diparkir di tebing Sungai Golok di Kampung Simpangan, di sini malam tadi membawa kepada penemuan 4,000 tudung yang diseludup dari Thailand.

Pegawai Pemerintah Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) merangkap Pegawai Pemerintah Medan Op Benteng Covid-19, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, rampasan itu dilakukan oleh sepasukan anggota dari PGA7 yang sedang melakukan rondaan di pangkalan haram Simpangan kira-kira jam 8 malam tadi.

"Anggota kami ternampak kenderaan jenis Proton Iswara Aeroback dalam keadaan mencurigakan dan segera menghampiri.

"Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, seorang lelaki dipercayai pemandunya bertindak melarikan diri dengan melompat ke dalam perahu seterusnya menyeberangi Sungai Golok menghala ke Thailand," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Nor Azizan berkata, hasil pemeriksaan yang dibuat terhadap kereta itu menemui sejumlah bungkusan plastik yang diletakkan di bahagian tempat duduk penumpang belakang serta di dalam but.

Katanya lagi kesemua tudung yang diseludup daripada Thailand itu berjumlah 4,000 helai dan dianggarkan bernilai RM160,000.

"Barangan itu adalah untuk pasaran tempatan iaitu sekitar Kelantan dan dipercayai sebagai persediaan awal peniaga tudung untuk jualan sempena ketibaan Aidilfitri nanti.

"Kenderaan dan tudung dibawa ke Balai Polis Simpangan untuk siasatan lanjut dan akan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

"Keseluruhan rampasan dianggarkan RM167,000 dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mac 2021 @ 5:57 PM