LORI muatan lembu yang ditahan PGA pagi tadi. FOTO ihsan PGA
LORI muatan lembu yang ditahan PGA pagi tadi. FOTO ihsan PGA
Siti Rohana Idris


Tumpat: Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan pemandu dan kelindan sebuah lori kerana cuba menyeludup masuk 12 lembu di Kampung Nechang, di sini, pagi tadi.

Kenderaan terbabit dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh anggota Batalion 9 PGA di Kampung Kajang Sebidang, di sini, pada jam 5.20 pagi.

Pegawai Pemerintah PGA9, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, ketika diarahkan berhenti, pemandu memecut kenderaan sejauh kira-kira dua kilometer sebelum ditahan di Kampung Nechang.

"Pemeriksaan mendapati 12 lembu dipercayai diseludup dari Thailand yang dianggarkan bernilai RM126,000.

"Pemandu serta kelindan berusia 35 dan 20 tahun ditahan dan dibawa ke Balai Polis Chabang Empat untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua lembu yang dibawa menerusi Sungai Golok itu adalah untuk pasaran tempatan.

"Rampasan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kelantan dan kes disiasat mengikut Seksyen 26 Akta Binatang 1953," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 9:33 PM